
Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)
PENDANG, 16 Jun (MalaysiaAktif) – Siapa sangka, penduduk sekitar daerah Pendang kini tidak perlu lagi merantau jauh untuk menikmati keenakan nasi Arab pada harga berpatutan kerana anak jati Pendang telah menjadikan sebuah kiosk kecil yang terletak bersebelahan Petronas Pendang sebagai tumpuan pencinta nasi Arab tempatan.

Nasi Arab RM5.90 yang mendapat sambutan hangat.
Pemilik kiosk berkenaan Mohamad Fadzil Abdul Majid, 43, yang ditemui pagi semalam, berkata beliau memulakan perniagaan nasi Arab ini sejak 1 Ogos 2024 dengan berbekalkan modal simpanan sendiri tanpa sebarang bantuan atau pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, nasi Arab semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia dan atas sebab itu, saya memilih untuk menceburi perniagaan ini memandangkan masih belum ramai yang mengusahakan menu ini di daerah Pendang pada ketika itu.
“Saya melihat ini sebagai satu peluang untuk memperkenalkan sesuatu yang berbeza kepada masyarakat setempat tanpa perlu ke luar daerah seperti Alor Setar, Gurun mahupun Sungai Petani,” katanya.
Menariknya, walaupun harga yang ditawarkan cukup berpatutan, namun rasa nasi Arab yang dijual di Kedai Nasi Arab Chef Fadzil ini dikatakan setanding dengan nasi Arab asli dari Tanah Arab selain turut menawarkan pelbagai pilihan makanan barat bagi memenuhi selera pelanggan yang berbeza.
“Orang ramai boleh dapatkan nasi Arab yang menggunakan beras basmati di kedai kami serendah RM5.90 satu pek dan kami juga bersedia menerima tempahan untuk sebarang majlis,” ujarnya.
Dibantu tiga orang pekerja, Mohamad Fadzil atau lebih mesra disapa sebagai Chef Fadzil mengakui cabaran utama dalam perniagaan ini ialah untuk mendapatkan kefahaman pelanggan bahawa harga jualan perlu seiring dengan kos operasi yang semakin meningkat khususnya harga bahan mentah.

Mohamad Fadzil atau lebih mesra disapa Chef Fadzil (tengah) bersama pelanggan yang berkunjung ke kiosk nasi Arabnya.
“Cabaran utama adalah mengekalkan harga yang berpatutan dalam keadaan harga barang yang sentiasa naik tetapi kami sentiasa cuba memberikan yang terbaik kepada pelanggan,” katanya.
Bagi penduduk Pendang, kemunculan kiosk ini pastinya memberikan pilihan baharu untuk menikmati hidangan lazat tanpa perlu keluar dari daerah sendiri dan usaha anak tempatan seperti Mohamad Fadzil ini wajar mendapat sokongan agar perniagaan tempatan terus berkembang serta memberi manfaat kepada komuniti setempat.
“Terima kasih kepada isteri saya yang sentiasa menjadi tulang belakang dalam perjalanan ini dengan memberi semangat dan dorongan agar terus mengusahakan perniagaan ini dengan sebaik mungkin,” ujarnya mengakhiri perbualan.
-ZS-