Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

HAWANA 2025: Menjulang Kewartawanan Era Baharu dengan Keseimbangan AI dan Etika

By 16 Jun 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohammad Hafizee Md Hashim/Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 16 Jun (MalaysiaAktif) – Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 disambut meriah di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dari 13 hingga 15 Jun lalu.

Sambutan bertemakan ‘Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika’ yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghimpunkan lebih 1,000 pengamal media dari seluruh Malaysia serta wakil media negara anggota ASEAN.

Penerima Anugerah HAWANA Datuk Yong Soo Heong.

Anwar dalam ucapannya kelmarin, menekankan bahawa teknologi kecerdasan buatan (AI) harus digunakan sebagai alat untuk memperkukuh kewartawanan, bukan menggantikannya.

“AI hanyalah alat, nilai-nilai kewartawanan seperti ketelusan, keadilan dan tanggungjawab tidak boleh dikompromikan,” katanya.

HAWANA bertujuan untuk memberi penghargaan kepada pengamal media atas sumbangan mereka dalam membentuk minda masyarakat.

Selain itu, ia juga menjadi platform untuk memperkukuhkan nilai profesionalisme dan kebebasan bersuara yang bertanggungjawab dalam kalangan pengamal media.

“HAWANA adalah acara penting dalam kalendar kementerian untuk mempereratkan ekosistem media dan menghargai peranan wartawan dalam masyarakat,” kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Pelbagai acara menarik diadakan sepanjang sambutan HAWANA 2025 antaranya Forum Media Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 14 Jun serta karnival dan pameran HAWANA di Sunway Putra Mall pada 13 hingga 15 Jun 2025.

Anwar bergambar kenangan bersama tetamu yang hadir.

Sebagai sebahagian daripada Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, HAWANA 2025 juga menjadi platform untuk menghimpunkan organisasi media dari seluruh ASEAN yang bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan dan kerjasama serta mengenal pasti cabaran terkini dalam industri media di rantau ini.

Sebanyak 79 rakan strategik telah menyatakan komitmen mereka dengan menaja serta menyumbang dalam bentuk tunai, barangan dan perkhidmatan.

Jumlah ini menunjukkan peningkatan berbanding 44 rakan strategik pada tahun sebelumnya, menandakan semakin luasnya sokongan terhadap HAWANA.

Dalam majlis kemuncak HAWANA 2025, beberapa pengamal media telah menerima anugerah atas sumbangan mereka dalam industri kewartawanan.

Antaranya Datuk Yong Soo Heong yang menerima Anugerah Khas HAWANA 2025 atas sumbangan seumur hidup dalam bidang kewartawanan.

HAWANA 2025 bukan sekadar acara tahunan, tetapi merupakan platform penting untuk menghargai sumbangan pengamal media, memperkukuhkan profesionalisma serta membina jaringan kerjasama antara media tempatan dan antarabangsa.

-ZS-

Tinggalkan komen anda