
Laporan/foto: Azrul Abdullah (Padang Terap)
PADANG TERAP, 17 Jun (MalaysiaAktif) – Perpustakaan Desa Masjid Kampung Padang Nyior meriah semalam dengan kehadiran penduduk setempat sempena penganjuran program komuniti yang turut disertai beberapa agensi kerajaan, termasuk Pusat Sebaran Nasional (NADI) dan Pejabat Penerangan Daerah Padang Terap.
Program yang bertujuan memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dan masyarakat luar bandar ini menampilkan pelbagai pengisian bermanfaat.

Hayati sedang melakukan pemeriksaan kadar gula dalam darah pengunjung yang hadir
Antara aktiviti utama ialah pemeriksaan kesihatan percuma yang dijalankan oleh NADI kepada penduduk kampung di samping taklimat kesihatan ringkas berkaitan penjagaan diri dan pencegahan penyakit tidak berjangkit oleh Pengurus NADI Kampung Tanjung, Hayati Rejab, 45.
Menurut Norizan Ahmad, 54, kehadiran perkhidmatan kesihatan ini amat dihargai kerana memudahkan mereka mendapatkan pemeriksaan awal tanpa perlu ke klinik yang lebih jauh.
Selain itu, Pegawai Penerangan Daerah Padang Terap, Fiteri Abd Manap turut menyampaikan taklimat isu semasa berkaitan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta pencerahan mengenai ketirisan subsidi LPG yang menjadi perhatian masyarakat ketika ini.
“Program seperti ini bukan sahaja menjadi medium menyampaikan maklumat, malah membuka ruang kepada penduduk untuk bertanya dan memahami isu yang dibangkitkan secara terus kepada wakil agensi,” jelasnya.
Penduduk Kampung Padang Nyior menyatakan rasa teruja dan berterima kasih atas kehadiran agensi kerajaan yang sanggup turun padang bertemu masyarakat luar bandar secara dekat. Mereka berharap program seumpama ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa demi kesejahteraan komuniti.
Program ini juga turut menyemarakkan semangat Komuniti MADANI dengan menjadikan perpustakaan desa bukan sekadar pusat ilmu, tetapi juga nadi penyatuan pelbagai lapisan masyarakat melalui penglibatan aktif agensi-agensi kerajaan.