Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Program Mini ASAS Perkasa Komunikasi Komuniti MADANI Semporna

By 7 minutes yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Abdul Hadi/Asrul Affandi (Semporna)

SEMPORNA, 17 Jun (MalaysiaAktif) – Meningkatkan kecekapan penyampaian maklumat kerajaan dan memperkasa komunikasi digital dalam kalangan masyarakat setempat menjadi fokus utama penganjuran Program Mini Akademi Asas Penerangan (ASAS) Zon Sabah 2025 yang berlangsung di Kampung Bubul, Semporna.

Mujahid menyampaikan taklimat Pengurusan Acara dan Pengucapan Awam semasa Program  (ASAS), kelmarin.

Program yang menghimpunkan wakil Komuniti MADANI dari kawasan Parlimen Semporna ini dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh jaringan komunikasi akar umbi, selaras dengan hasrat memperkasa rakyat sebagai ejen penyampai maklumat yang berkesan dan beretika.

Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Mohd Mujahid Halpi berkata, teknik pengucapan awam dan kemahiran menghasilkan video berinformasi antara fokus bengkel bagi meningkatakan tahap keberkesanan penyampaian maklumat melalui Komuniti MADANI.

“Ini penting kerana masyarakat kini cenderung mendapatkan maklumat di hujung jari. Kandungan yang dihasilkan perlu menarik, mudah difahami dan sesuai dikongsi dalam komuniti masing-masing.

“Malah, penggunaan bahasa tempatan juga mampu meningkatkan keberkesanan penyampaian kerana ia lebih dekat dengan budaya dan cara hidup setempat,” katanya ketika menyampaikan taklimat dalam program tersebut di sini pada Ahad.

Mujahid (berdiri empat dari kiri) bersama panel penceramah dan peserta Program (ASAS) Zon Sabah 2025 di Kampung Bubul, Semporna.

Bagi Pegawai Penerangan Daerah Semporna, Mohamma Syah Kisun, program ini membuka ruang kepada komuniti menyuarakan keperluan setempat, termasuk isu capaian internet, selain menjadi landasan untuk memperkasa peranan Komuniti MADANI sebagai ejen komunikasi kerajaan.

“Saya juga telah minta Komuniti MADANI bekerjasama dengan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bagi memanfaatkan ruang latihan seperti Program Mini ASAS ini. Ia selaras dengan usaha menjadikan mereka ejen penyampai maklumat kerajaan yang dekat di hati rakyat,” katanya.

Pengerusi Komuniti MADANI Kampung Amboh-Amboh, Napsah Ab Hamja menyambut baik inisiatif ini yang menurutnya memberi pendedahan berguna dalam aspek pengucapan awam dan penghasilan kandungan digital.

Napsah ketika sesi soal jawab dalam Program  (ASAS)  yang berlangsung di Kampung Bubul, Semporna.

“Program ini bantu kami jadi penyampai maklumat yang sahih, dalam bahasa yang difahami komuniti kami sendiri, daripada bengkel ini sekurangnya kami di peringkat Komuniti MADANI mempunyai kemahiran asas mengenai teknik suntingan dan rakaman yang penting untuk menyampaikan maklumat dengan lebih menyeluruh,” katanya.

Untuk makluman, program anjuran Pejababat Penerangan Daerah Semporna itu melibatkan lebih 20 peserta daripada sembilan Komuniti MADANI merangkumi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan, Senallang, dan Bugaya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda