
Laporan/foto: Lizza Imelia M. Sulanah (Larut Matang dan Selama)/Pusat Khidmat ADUN Pokok Assam
TAIPING, 17 Jun (MalaysiaAktif) – Festival Pancaragam Belia Antarabangsa Taiping 2025 atau Taiping International Youth Marching Band Festival 2025 adalah satu program yang ditunggu-tunggu bagi peminat band pancaragam di daerah ini.

Penonton yang hadir memberi sokongan telah memeriahkan suasana.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pokok Assam Ong Seng Guan, festival ini berjaya mengumpulkan pasukan pancaragam bukan sahaja dalam Malaysia malah, kumpulan pancaragam yang terkenal luar negara.
Tambahnya lagi, antara sekolah-sekolah yang terlibat adalah JBO Marktoberdorf, Jerman; Jingmei High School, Taiwan; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Asma, Kedah; Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Nan Hwa, Sitiawan; SMK King Edward (VII), Taiping; Sekolah Tinggi Hua Lian dan SMJK Hua Lian, Taiping.
Pengunjung, Meor Sulaiman Meor Razalli, 43, melahirkan rasa bangga kerana program ini memberi peluang kepada penduduk setempat merasi pengalaman yang menarik dan luar biasa.
“Festival kali ini dapat memberi peluang masyarakat setempat melihat sendiri keunikan persembahan dan kreativiti anak-anak muda bersama rakan sebaya dari luar negara. Sesuatu yang membanggakan!,” ujarnya ketika ditemui kelmarin.

Pengunjung Meor Sulaiman sempat bergambar dengan peserta mewakili Jerman.
“Diharapkan festival ini dapat diteruskan, bukan sahaja di Taiping malahan peringkat kebangsaan agar boleh mengumpulkan lebih banyak kumpulan pancaragam di dunia, dan membuka ruang band pancaragam Malaysia untuk membuat persembahan di luar negara juga.
Majlis Perasmian Festival Pancaragam Belia Antarabangsa Taiping 2025 telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Taiping Wong Kah Woh.
Turut hadir Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak merangkap ADUN Aulong Teh Kok Lim, Orang Besar Jajahan Larut, Matang dan Selama Orang Kaya Menteri Paduka Tuan Datuk Wan Isa Datuk Wan Mohd Razalli dan Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama Mohd Nasrul Menhat.
-ZS-