Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Kejohanan Baling Damak Eratkan Komuniti Subzon 4 Putrajaya

By 5 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Muhamad Hafizuddin Abdul Halim/Shahrul Ammar Jauhari (Kuala Lumpur)

PUTRAJAYA, 17 Jun (MalaysiaAktif) – Kejohanan Dart atau baling damak anjuran Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Subzon 4 Putrajaya bersama Komuniti MADANI Parlimen Putrajaya berjaya menghimpunkan komuniti setempat dalam satu acara santai yang memupuk semangat kekitaan dan perpaduan.

Pemberian pingat kepada pemenang Kejohanan Dart anjuran MPP Subzon 4 Putrajaya.

Kejohanan yang berlangsung di Dewan Serbaguna Pusat Kejiranan Presint 9, di sini kelmarin telah dirasmikan oleh Pengerusi MPP Subzon 4, Asma Aliff Abdul Adam.

Menurutnya, penganjuran kejohanan ini bukan sahaja bertujuan untuk mencungkil bakat dalam sukan baling damak tetapi juga sebagai platform untuk menggalakkan penyertaan aktif komuniti dalam aktiviti sihat dan bermanfaat.

“Kejohanan ini menjadi satu medium untuk kita merapatkan hubungan antara penduduk setempat tanpa mengira latar belakang.

“Ini selaras dengan semangat Malaysia MADANI yang mengangkat nilai hormat, kebersamaan dan perpaduan,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Kejohanan yang disertai lebih 20 pasukan dari sekitar Presint 8, 9, 10 dan 11 itu menyaksikan persaingan sengit dalam suasana mesra dan penuh semangat kesukanan.

Peserta terdiri daripada pelbagai peringkat umur termasuk belia dan warga emas, membuktikan bahawa sukan baling damak mampu menyatukan pelbagai lapisan masyarakat.

Pemberian pingat kepada pemenang Kejohanan Dart anjuran MPP Subzon 4 Putrajaya.

Acara turut diserikan dengan kehadiran pemimpin komuniti dan wakil agensi tempatan yang memberikan sokongan kepada usaha menggerakkan program akar umbi berimpak tinggi seperti ini.

Pemenang kejohanan membawa pulang hadiah berupa pingat dan wang tunai, manakala semua peserta menerima sijil penyertaan sebagai tanda penghargaan atas semangat dan komitmen mereka.

Kejohanan baling damak ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan MPP Subzon 4 dan Komuniti MADANI Parlimen Putrajaya dalam menjayakan agenda komuniti aktif dan sejahtera di Wilayah Persekutuan Putrajaya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda