
Laporan/foto: Hizami Hanip/Marina Idris (Petaling)
SUNGAI WAY, 18 Jun (MalaysiaAktif) – “Yang tua dihormati, yang muda disayangi”. Begitulah semangat yang dibawa oleh Komuniti MADANI (KM) Kampung Baru Sungai Way sempena program kemasyarakatan menyantuni penghuni Rumah Orang Tua Seri Setia.
Program ini dilaksanakan bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025, ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’, sebagai usaha menyemarakkan kasih sayang dan rasa hormat terhadap golongan warga emas.

KM Sungai Way menyantuni warga emas.
Menurut Ketua KM Kampung Baru Sungai Way Ding Eow Chai, warga emas harus terus diraikan dengan kasih dan hormat, bukan hanya diingati ketika perlukan.
“Masyarakat Madani ialah masyarakat yang saling menyantuni, terutamanya warga emas yang pernah berjasa kepada kita dan kini giliran kita menghulurkan kasih sayang kepada mereka.
“Kami berharap program ini menjadi pemangkin supaya lebih banyak usaha kebajikan dilaksanakan di masa hadapan,” katanya yang ditemui semalam.

Kannan Barbershop memberikan perkhidmatan gunting rambut percuma buat penghuni Rumah Orang Tua Seri Setia.
Sementara itu, Penyelia Rumah Orang Tua Seri Setia, Tei Sew Hong, berkata terdapat seramai 28 penghuni di sini, termasuk seorang warga emas berusia 84 tahun.
“Di sini, penghuni bekerjasama membersihkan kediaman mereka dan menggalakkan aktiviti harian bagi melahirkan semangat kekeluargaan sesama penghuni,” katanya.
Pelbagai program turut berlangsung antaranya aktiviti gunting rambut percuma, sembang santai, pemberian beg ubat-ubatan asas serta persembahan nyanyian oleh Ketua KM Ding Eow Chai yang menghiburkan warga emas dengan lagu-lagu nostalgia yang mengusik jiwa.
-ZS-