
Laporan/foto: Janica Jasmine Temaga James (Sarawak)
BINTANGOR, 19 JUN (MalaysiaAktif) – Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) MADANI @Kelab Malaysiaku Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Bintangor telah berlangsung meriah dengan sesi interaktif bersama dengan ahli-ahlinya.
Program dimeriahkan dengan dua permainan interaktif secara berkumpulan di antara ahli kelab iaitu pertandingan mengeluarkan bola pingpong dan buah pinang dari dawai menggunakan kayu penyepit serta pertandingan menghantar tepung dalam pinggan.

Ahli-ahli Kelab MalaysiaKu khusyuk mendengar taklimat dan penerangan.
“Permainan ini yang diadakan bagi memupuk semangat kerjasama dan bersatu hati di kalangan Ahli Kelab Malaysiaku dalam menghadapi rintangan dan secara tidak langsung telah menggalakkan pelajar berfikir secara kreatif untuk menyelesaikan permasalahan dan mencapai objektif permainan,” ujar Guru Penyelaras kelab Paat Hie Ching, Cikgu Paat, di sini semalam.
Program dimulakan dengan taklimat ringkas ‘Keselamatan Dalam Talian’ oleh Pegawai Penerangan Daerah Meradong Nor Hidayah Ismail.
“Keselamatan dalam talian bukan hanya individu sahaja, malah tanggungjawab bersama dan kita perlu menjadi contoh rakyat yang celik teknologi, bijak menilai dan bertanggungjawab di dunia siber.
“Seiring dengan kemudahan dalam kepesatan era digital masa kini, ancaman keselamatan dalam talian turut menjadi cabaran yang perlu dihadapi dan diatasi oleh setiap lapisan masyarakat,” ujarnya.

Taklimat ringkas ‘Keselamatan Dalam Talian’ oleh Nor Hidayah.
Nor Hidayah turut menerangkan kegiatan harian masyarakat zaman sekarang yang berkait rapat dengan penggunaan teknologi dan Internet seperti membuat carian di Google, berkomunikasi melalui aplikasi WhatApps atau Telegram, menghantar maklumat melalui e-mel dan melayari media sosial seperti Facebook, Intagram, X, TikTok dan sebagainya telah memberi kemudahan yang amat baik.
Turut ditekankan dalam taklimat yang sama tentang beberapa ancaman keselamatan yang dihadapi di dalam talian seperti kecurian identiti, penipuan dalam talian (Scam), buli siber, penyebaran maklumat palsu, langkah-langkah bagi menjaga keselamatan dalam talian seperti penggunaan kata laluan yang kukuh, tidak berkongsi maklumat peribadi secara terbuka, berhati-hati semasa berkongsi sebarang pautan, membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku ancaman dan bijak dalam menilai maklumat yang sahih dan tepat.
-ZS-