Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Warga Emas Teruja Agensi Kerajaan Turun Padang

By 16 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Maherah Marina Mahusin (Kuala Nerus)

KUALA NERUS, 19 Jun (MalaysiaAktif) – Suasana di Pustaka Desa, Bukit Tunggal, kelmarin meriah dengan kehadiran ahli komuniti dan warga emas yang teruja yang menyertai Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA), satu inisiatif unik kerajaan bagi menyampaikan dasar negara secara terus dan mesra kepada rakyat.

Program anjuran bersama pelbagai agensi kerajaan ini memberi peluang kepada warga emas bukan sahaja untuk bertanya soalan secara langsung, malah memahami dasar, wawasan dan falsafah negara dengan lebih jelas.

Mustafa Md Yusuf menyifatkan program yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dalam satu majlis amat bermanfaat buat penduduk setempat.

Menurut Pengerusi Kelab Warga Emas Bukit Tunggal Mustafa Md Yusuf, pendekatan turun padang ini amat bermakna buat warga emas sepertinya.

“Kami rasa dihargai apabila pegawai kerajaan sendiri hadir dan menerangkan satu persatu. Ia membuka mata kami bahawa warga emas juga mempunyai peranan penting dalam pembangunan negara,” katanya.

Pandangan itu turut dikongsi oleh Embong Ismail, 67, yang menyifatkan program ini sebagai jambatan penghubung antara rakyat dan penjawat awam.

“Selama ini banyak persoalan kami tidak berjawab, tetapi hari ini kami mendapat penjelasan terus daripada sumber yang sah. Ia sangat membantu,” ujarnya.

Komuniti setempat dan warga emas yang hadir mendengar taklimat serta perkongsian secara langsung daripada wakil agensi.

Bagi Ketua Komuniti MADANI Bukit Tunggal Hassan Ibrahim, pendekatan mesra rakyat seperti ini wajar diteruskan dan dijadikan amalan tetap semua agensi.

“Ia bukan sahaja menyampaikan maklumat dengan berkesan, tetapi juga menangkis salah faham terhadap dasar-dasar kerajaan.

“Paling penting, ia mengukuhkan perpaduan di peringkat akar umbi,” tegasnya.

Program turut diserikan dengan sesi dialog terbuka, ceramah interaktif dan edaran risalah berkaitan pelan pembangunan nasional serta perkhidmatan sosial.

Kehadiran masyarakat setempat, khususnya warga emas, mencerminkan keterbukaan mereka untuk memahami dan mendalami peranan masing-masing dalam membina negara MADANI.

-ZS-

Tinggalkan komen anda