Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Segmen ‘Fakta atau Auta’ Tarik Minat Ahli Kelab Malaysiaku

By 20 Jun 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Robani Nabi Ahmad

PASIR MAS, 20 Jun (MalaysiaAktif) – Sorakan, gelak tawa dan keterujaan mengiringi perjalanan segmen ‘Fakta atau Auta’ mencuri perhatian pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bunut Susu, di sini sempena Program Jiwa@Kelab Malaysiaku, kelmarin.

Dikendalikan oleh kakitangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), segmen interaktif ini bukan sahaja mencuit hati para peserta malah membuka mata mereka tentang bahaya maklumat palsu di Internet yang merupakan satu cabaran utama dunia digital masa kini.

Antara peserta yang mengikuti segmen ‘Fakta atau Auta’.

Pelajar-pelajar yang juga ahli Kelab Malaysiaku diberi peluang untuk menguji keupayaan membezakan fakta dan auta, melalui latihan amali yang menyeronokkan namun penuh nilai pendidikan.

Segmen ini membuktikan bahawa pembelajaran literasi digital boleh berlaku dalam suasana yang ceria, ringan dan berkesan.

Menurut Pegawai SKMM Wan Nurul Ain, pendedahan awal kepada pengetahuan digital sangat penting, khususnya untuk golongan muda dan warga emas yang mudah terdedah kepada kandungan palsu.

“Sebagai pengguna, kita perlu bijak menilai dan membezakan kandungan yang sahih dan sebaliknya.

“Program seperti ini memberi kesedaran bahawa kita semua bertanggungjawab memastikan penggunaan Internet kekal positif dan selamat,” katanya.

Sebahagian kakitangan SKMM sedang berinteraksi bersama peserta dalam membezakan kandungan sahih atau palsu.

Selain memberi pendedahan tentang risiko jenayah siber dan buli dalam talian, peserta juga diberikan panduan keselamatan media sosial agar lebih bersedia menghadapi cabaran alam maya.

Menambah lagi keceriaan program, lebih 80 ahli Kelab Malaysiaku menerima simkad percuma daripada CelcomDigi dan Maxis, hasil kerjasama strategik pelbagai pihak termasuk Pejabat Penerangan Daerah Pasir Mas, SMK Bunut Susu, SKMM, Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI)  CelcomDigi dan Maxis.

Program ini menjadi bukti bahawa pendekatan kreatif dan berinteraksi secara terus dengan generasi muda mampu menyemai kesedaran digital sejak di bangku sekolah.

Lebih daripada sekadar ceramah, ia adalah pengalaman pembelajaran yang hidup dan membina jati diri sebagai pengguna bijak dunia digital.

-ZS-

Tinggalkan komen anda