
Laporan/ Foto : Norlia Mili (Sarawak)
KUCHING, 20 Jun (Malaysiaaktif) – ‘Rainforest Youth Summit 2025 – RAYS 2025’ yang kembali ke Kuching untuk tahun kedua berturut-turut telah berlangsung selama tiga hari bermula 18 hingga 20 Jun 2025 di Hikmah Exchange, Kuching.

Karim berbual mesra dengan delegasi belia yang menghadiri RAYS 2025.
Persidangan yang menghimpunkan lebih 700 pemimpin muda, penggerak perubahan dan aktivis dari Malaysia dan negara-negara ASEAN dalam usaha memperkukuh kepimpinan belia dalam isu perubahan iklim, membawa tema ‘Landskap Hidup: Merintis Masa Depan Lestari’.
Majlis perasmian yang disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dalam ucapannya menegaskan kepentingan belia dalam mendorong perubahan positif.
“RAYS membina platform di mana belia bukan hanya menyertai tetapi memimpin, mencipta dan mengatur masa depan yang mereka impikan dan belia adalah pencorak utama masa kini, bukan hanya pemimpin masa depan,” ujar Karim.

Peserta Universiti Asia Pasifik, Haithm Al-Bakri.
Bagi penuntut tahun pertama Universiti Asia Pasifik (APU) yang berasal dari Yaman, Haithm Al-Bakri, 22, berkata dia sangat teruja dan bangga diberi peluang menghadiri RAYS 2025.
“Di sini saya dapat mengenali dan berjumpa dengan belia-belia yang datang dari pelbagai latar belakang budaya yang berbeza dan saya berharap dapat menghadiri RAYS pada tahun depan,” ujarnya lagi semalam.