
Laporan / Foto: Matsukarmi Suani (Sarawak)
BALINGIAN, 20 Jun (MalaysiaAktif) – Sait Bom dinobat sebagai johan Qari manakala Meryam Bol diumumkan sebagai johan Qariah dalam Majlis Tilawah al-Quran peringkat Daerah Mukah tahun 1446H/2025M yang berlangsung di Dewan Masyarakat Balingian, semalam.

Abdul Yakub menyempurnakan penyampaian hadiah kepada johan Qari sempena Majlis Penangguhan Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Mukah.
Tempat kedua dan ketiga bagi kategori Qari dimenangi oleh Musa Basri dan Drahman Satan, manakala bagi kategori Qariah pula disandang oleh Syarifah Nur Ruqayyah Syed Zainon (naib johan) dan Habibah Hanapi (tempat ketiga).
Para pemenang membawa pulang hadiah wang tunai, hadiah iringan serta sijil penyertaan.
Majlis Tilawah tahun ini menyaksikan penyertaan seramai sembilan peserta, terdiri daripada tiga qari dan enam qariah.

Abdul Yakub menyampaikan hadiah kepada johan Qariah pada MTQ Daerah Mukah.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi.
Dalam ucapannya, beliau menyeru umat Islam agar menjadikan al-Quran sebagai panduan dan sumber rujukan utama dalam kehidupan seharian serta membudayakannya dalam setiap aspek kehidupan.