Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Legasi Tradisi Bawa Rezeki Berlipat Ganda

By 9 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: NorFadzlina Ahmad Fadzli

KOTA BHARU, 20 Jun (MalaysiaAktif) – Dalam era ekonomi tidak menentu, meninggalkan kerjaya tetap bukanlah sesuatu yang biasa.

Namun, bagi Mohd Fazil Hashim, 42, keputusan berani meninggalkan pekerjaan dalam sektor awam demi meneruskan perniagaan keluarga telah membuahkan hasil yang luar biasa.

Antara produk popular keluaran Cap Kapal yang mendapat sambutan hangat pelanggan dalam dan luar Kelantan.

Kini, Mohd Fazil mengusahakan perniagaan berasaskan produk makanan laut tradisional seperti keropok lekor vakum, keropok keping, keropok segera dan sos pencicah, yang semuanya mendapat permintaan tinggi khususnya ketika musim cuti dan perayaan.

“Bulan biasa kami boleh capai RM40,000. Bila cuti sekolah atau raya, jualan mencecah RM50,000 sebulan. Ramai pelanggan dari luar negeri beli sebagai ole-ole,” katanya ketika ditemui di pusat pengeluaran keluarganya di sini kelmarin.

Beliau turut berkongsi bagaimana penggunaan teknologi baharu menjadikan operasi lebih efisien.

“Kami guna mesin rebus gas dan api moden. Dulu pakai kayu api, makan masa dan tenaga. Sekarang lebih cepat dan konsisten,” jelasnya.

Namun, menurut beliau, musim tengkujuh masih menjadi cabaran besar apabila bekalan ikan mentah berkurang.

Kebergantungan kepada hasil laut tempatan menyebabkan pengeluaran kadang-kala terganggu meskipun permintaan kekal tinggi.

Sebagai usahawan kecil, Mohd Fazil berharap kerajaan dapat membantu dari segi kemudahan teknologi dan akses pasaran digital.

Bukan sekadar keropok – Mohd Fazil turut menghasilkan sos pencicah istimewa yang menjadi pelengkap rasa.

“Kalau ada mesin pembungkus automatik, bantuan e-dagang dan geran teknologi, kami mampu kembangkan pasaran ke seluruh negara dan luar negara,” ujarnya.

Bagibya, perniagaan ini bukan sekadar soal untung. Ia adalah warisan keluarga yang perlu diteruskan dan dimajukan dengan pendekatan lebih moden.

“Ini bukan sekadar bisnes. Ini warisan. Dan warisan ini perlu diperkasa dengan teknologi dan inovasi,” katanya penuh semangat.

Mohd Fazil juga berharap agar generasi muda lebih menghargai produk tempatan dan berani meneroka bidang keusahawanan berasaskan warisan makanan tradisional.

Salah seorang pelanggan, Sazuana Sabri, 28, dari Meru, Klang, Selangor, berkata produk Cap Kapal kekal menjadi pilihan utama keluarganya kerana rasanya yang tidak berubah sejak dahulu.

-ZS-

Tinggalkan komen anda