Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Felda Adela Tumpuan Penilaian Akhir Anugerah Kecemerlangan Rancangan Felda 2025

By 10 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Muhammad Al-Tarmizi Azmi/Ashikin Mustafa (Kota Tinggi)

KOTA TINGGI, 20 Jun (MalaysiaAktif) – Felda Adela menjadi tumpuan utama apabila dipilih sebagai tuan rumah sesi penilaian akhir Anugerah Kecemerlangan Rancangan Felda (AKRF) 2025, menandakan kemuncak pertandingan yang turut melibatkan Felda Lok Heng Timur dan Felda Ester.

Pusat penyembelihan lembu Felda Adela, yang menjadi antara komponen penting dalam rantaian ekonomi pendudu setempat, turut dinilai pada pertandingan kali ini.

Salah seorang ahli panel, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Amran Abdul Kadir, berkata penilaian merangkumi aspek menyeluruh yang mencerminkan kekuatan Felda Adela sebagai komuniti, termasuk kemudahan masjid, pengurusan ladang sawit, dan pematuhan kepada prinsip ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus).

“Selain itu, tahap kualiti persekitaran, faktor keunikan (wow factor), serta pencapaian ekonomi setempat juga diambil kira dalam penilaian.

“AKRF bukan hanya soal kejuaraan, tetapi menjadi platform untuk memperkasa komuniti Felda dan menyemai semangat perpaduan dalam kalangan warganya,” katanya ketika ditemui semasa sesi lawatan penilaian di Felda Adela, di sini kelmarin.

Amran menjelaskan, keputusan rasmi pertandingan dijangka diumumkan pada penghujung Julai tahun ini.

Panel penilai pertandingan AKRF turut meluangkan masa mengunjungi Usahawan Muda Caffe Burger, salah satu inisiatif keusahawanan belia di Felda Adela.

“Rancangan Felda yang dinobatkan sebagai juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM1 juta serta pengiktirafan sebagai model pembangunan komuniti luar bandar terbaik di peringkat nasional,” katanya.

Tambah Amran, program seperti ini sekali lagi menegaskan bahawa Felda bukan sekadar kawasan pertanian, malah menjadi pemacu utama pembangunan komuniti yang progresif, mampan dan berdaya saing, sejajar aspirasi negara.

Pelbagai aktiviti menarik turut dianjurkan bagi memeriahkan suasana penilaian, antaranya sukan memanah, motorcross, ATV, paintball dan pertandingan menembak sasaran, yang mendapat sambutan hangat daripada penduduk tempatan khususnya golongan belia.

Selain SKM, panel penilai terdiri daripada wakil agensi kerajaan pelbagai sektor seperti Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Turut hadir Ketua Pengarah JBSN Azura Abidin dan Timbalan Ketua Pengarah Malaysia Tourism Board Datuk Musa Yusof.

-ZS-

Tinggalkan komen anda