
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Mohd Zulkhairi Rahim (Labuan)
LABUAN, 22 Jun (MalaysiaAktif) – Program Jiwa@Komuniti Madani Sembang Santai Bersama Komuniti MADANI dapat memperhebatkan lagi keupayaan Key Opinion Leader (KOL) atau Pemimpin Pendapat Utama untuk menyampaikan sebarang maklumat kepada masyarakat.
Ketua Komuniti MADANI Kubong Awangku Sazali Pengiran Salleh menyambut baik program itu yang boleh memupuk persefahaman antara agensi kerajaan dan pihak komuniti.

Azman sedang memnyampaikan ucapan semasa Jiwa@Komuniti Madani Sembang Santai.
“Program ini amat baik kerana ianya diadakan dalam suasana santai dan ini lebih memudahkan kami berkomunikasi atau bertanya dengan agensi berkaitan dengan isu yang ingin disampaikan setiap kali penganjuran program ini,” katanya.
Turut hadir Pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Labuan Mohd Musid Mohamad yang menyampaikan perkongsian mengenai keselamatan dalam talian.
Menurut Pengarah Jabatan Penerangan Labuan Azman Sipan program itu berteraskan kepada aktiviti penyaluran maklumat dan advokasi dalam meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan keberdayaan komuniti dalam menangani isu-isu tertentu.
“Program hari ini melibatkan wakil-wakil daripada enam Komuniti MADANI yang ada di Labuan dan mereka telah diberi penerangan mengenai isu keselamatan dalam talian yang telah disampaikan oleh pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Labuan.

Salah seorang peserta program bertukar pandangan dengan Pegawai MCMC.
“Kami berharap ahli-ahli Komuniti Madani ini dapat menjadi KOL yang berkesan untuk menyampaikan maklumat mengenai sebarang isu semasa kepada masyarakat tambahan pula mereka sudah mahir membuat video sendiri untuk membuat penjelasan mengenai isu-isu atau berita tidak sahih yang berlegar dalam kalangan orang awam,” katanya ketika ditemui pada program itu, di sini pagi semalam.
Jelasnya Komuniti MADANI akan terus diaktifkan dan dilibatkan dalam program-program lain bagi memperkukuh peranan mereka dalam institusi kemasyarakatan.
“Kita ada melibatkan mereka dalam beberapa program lain antaranya Program Jiwa@Komuniti Kemasyarakatan seperti program gotong-royong, program berbentuk perayaan atau kenegaraan dengan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan yang lain.
-ZS-