
Laporan/foto: Noor Aini/Zaid Ahmad Zubid(Perlis)
ARAU, 23 Jun (MalaysiaAktif) – Suasana Kampung Pauh Setia bertukar meriah pada semalam, apabila masyarakat setempat pelbagai kaum berkumpul bagi menyambut Program Perayaan Duan Wu, yang turut digandingkan bersama inisiatif Jiwa @ Komuniti Madani @ Perayaan anjuran Jabatan Penerangan Negeri Perlis, di sini semalam.
Program yang berlangsung dari awal pagi ini mengetengahkan elemen budaya tradisional Cina sempena Perayaan Duan Wu – dikenali juga sebagai Perayaan Perahu Naga dengan tumpuan utama kepada zongzi atau lebih mesra disebut sebagai kuih ketupat Cina.

Pertandingan membuat kuih ketupat Cina sempena Perayaan Duan Wu (Festival Perahu Naga).
Antara aktiviti menarik termasuk antaranya adalah pertandingan membuat kuih ketupat Cina, sesi interaktif ‘Saling Tukar Kebudayaan’ di mana peserta berbilang kaum diajar cara membungkus zongzi, jamuan tengah hari bersama komuniti dengan sajian pelbagai kaum.
Zongzi merupakan kuih tradisional berbentuk piramid, diperbuat daripada pulut dan dibalut dengan daun buluh. Ia sinonim dengan semangat penghormatan dan perpaduan dalam budaya Cina, khasnya ketika menyambut Duan Wu.
Menurut Pengerusi JPKKP Kampung Pauh Setia Lim Teck Soon, program ini bukan sahaja bertujuan memperkenalkan warisan masyarakat Tionghoa, malah memberi peluang kepada penduduk lain untuk mengenali dan menghargai keunikan budaya jiran mereka.
“Zongzi bukan sekadar makanan, ia lambang warisan dan kekeluargaan. Melalui sesi ‘saling ajar’, kita dapat pupuk nilai perpaduan dan saling memahami budaya masing-masing,” katanya.

Majlis perasmian dengan simbolik alat muzik tradisi.
Semangat kerjasama penduduk yang turun padang membantu menjayakan program, membuktikan nilai keluarga Malaysia Madani yang mementingkan keterangkuman dan keharmonian.
“Aktiviti seperti ini sesuai dengan peserta yang terdiri daripada warga emas, kerana tidak berat dengan aktiviti fizikal dan sesuai bagi para hadirin,” ujarnya ketika ditemui selepas tamat program.
Turut hadir wakil Jabatan Penerangan Negeri Perlis dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan.
Program ini menjadi contoh terbaik bagaimana warisan makanan tradisional mampu menyatukan masyarakat melalui pendekatan edutainment (didik hibur) iaitu sambil belajar, sambil bersilaturahim.
-ZS-