Skip to main content
Berita TimurBerita TempatanTerengganu

Riak Tenang Sungai Uji Kecekalan Komuniti Kampung Gunung

By 18 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aini Aziz/Nurul Ilyani

HULU TERENGGANU, 22 Jun (MalaysiaAktif) – Riak air yang kelihatan tenang bukanlah petanda perjalanan mudah. Namun, itulah cabaran yang disahut oleh sepuluh peserta dari Kampung Gunung dalam Program SejaTi MADANI Bersama Komuniti, anjuran Politeknik Hulu Terengganu (PHT) dengan kerjasama Persatuan Kanu Negeri Terengganu, di sini kelmarin.

Bertempat di Tourism Recreation Center (TRC), Politeknik Hulu Terengganu serta laluan sungai sebenar di Belukar Bukit dan Kalang Rengas, program ini memberikan latihan intensif menerusi Kursus Kayak Persijilan Kebangsaan Star 1 dan Star 2.

Dua peserta memperlihatkan keserasian mengendalikan kayak semasa sesi praktikal di kolam latihan.

Dari penguasaan teknik asas hinggalah ke eskimo roll, para peserta bukan sekadar mendayung, malah mengharungi cabaran air terbuka yang benar-benar menguji fizikal dan mental mereka.

Majlis penutupan program telah disempurnakan dengan penuh penghargaan oleh Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PHT Dr. Haji Abu Bakar Zakaria.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa program seumpama ini bukan hanya tertumpu kepada penganugerahan sijil.

“Ia adalah tentang membina keyakinan, membuka ruang potensi dan mewujudkan jaringan kerjasama yang erat antara institusi dan masyarakat. Kami percaya inisiatif seperti ini akan memberi kesan jangka panjang dalam pembangunan komuniti,” katanya.

Tambahnya, sepanjang program para peserta dilatih dengan pelbagai kemahiran termasuk portaging, sweep, rafting, stern rudder serta teknik menyelamat seperti H-Rescue, T-Rescue dan Self Rescue menggunakan spray deck.

Sesi latihan yang dijalankan di laluan sungai sebenar memberikan gambaran realistik terhadap cabaran sebenar ketika mengendalikan kayak.

Para peserta program menjalani latihan di kolam renang PHT sebelum turun ke sungai sebenar.

“Program ini membuktikan bahawa dengan sokongan dan peluang yang tepat, komuniti luar bandar mampu mencapai kecemerlangan dalam bidang teknikal.

“Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, pendekatan berasaskan kemahiran seperti ini membuka akses kepada pendidikan sepanjang hayat, berpaksikan nilai kemampanan, kebersamaan dan keyakinan terhadap potensi rakyat,” katanya.

Sebagai pengiktirafan atas pencapaian dan komitmen peserta, Sijil Persijilan Kebangsaan Star 1 dan Star 2 telah disampaikan oleh Ketua Jurulatih Persatuan Kanu Negeri Terengganu Dzulkafli Awang.

Penyampaian ini menjadi simbol kejayaan bukan sahaja dalam menakluki arus sungai tetapi juga dalam mengatasi batasan keupayaan diri sendiri.

-ZS-

Tinggalkan komen anda