Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

92 Kontinjen Niti Daun Serikan Tebingan Kuching dengan Kepelbagaian Budaya Dayak

By 7 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Norlia Mili (Sarawak)

KUCHING, 22 Jun (MalaysiaAktif)– Tebingan Kuching bertukar menjadi lautan warna dan budaya apabila perarakan tradisional ‘Niti Daun’ berlangsung dengan penuh meriah semalam, melibatkan 92 kontinjen daripada pelbagai etnik Dayak dari seluruh pelosok Sarawak.

Pahlawan-pahlawan Orang Ulu mengetuai barisan perarakan dengan penuh semangat.

Acara penuh warna-warni itu bukan sekadar sambutan kebudayaan, malah menjadi manifestasi identiti dan perpaduan komuniti Dayak dalam meraikan warisan nenek moyang mereka yang kaya dan unik.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, menyifatkan perarakan itu sebagai lambang nyata sumbangan masyarakat Dayak kepada kemajuan negeri dan kepelbagaian budaya Malaysia.

“Hari ini kita menyaksikan perarakan ‘Niti Daun’ yang sangat meriah dan kehadiran 92 kontijen dari pelbagai etnik Dayak membuktikan kekuatan budaya kita yang pelbagai tetapi tetap bersatu,” katanya.

Korintus Leban dari etnik minoriti Sekapan, Belaga, teruja menyertai perarakan buat kali pertama.

Menurut beliau, program seperti itu bukan sahaja memperkukuhkan semangat perpaduan antara kaum, tetapi turut menjadi platform mempromosi budaya Dayak kepada rakyat Malaysia dan pengunjung dari luar negara.

“Inilah cara kita memperkayakan lagi budaya Malaysia yang memang sudah sedia kaya dan kita mahu masyarakat lain memahami keunikan budaya Dayak,” ujarnya lagi.

Salah seorang peserta, Korintus Leban, 53, dari etnik Sekapan dari Belaga, Kapit menyifatkan penyertaan pertamanya dalam acara itu sebagai pengalaman yang sangat berharga.

“Sebagai etnik minoriti, ini peluang saya memperkenalkan budaya kami dan saya juga berpeluang mengenali pelbagai etnik lain dan busana tradisional mereka,” katanya.

Leisa Reynolds (kiri) bersama sekumpulan pelancong luar negara menantikan detik bermulanya perarakan.

Sementara itu, pelancong dari Paraburdoo, Australia, Leisa Reynolds,57, melahirkan rasa teruja menyaksikan kepelbagaian budaya dan kostum etnik Sarawak.

Menurutnya, beliau benar-benar terpesona dengan keindahan dan keunikan budaya Dayak dan ia pengalaman yang tidak mungkin dilupakannya ketika berkunjung ke Sarawak.

-RJ-

Tinggalkan komen anda