
Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh
TANAH MERAH, 23 Jun (MalaysiaAktif) – Aktiviti sukan memanah yang dahulunya sinonim dengan pahlawan Melayu di medan perang kini kembali mendapat tempat dalam kalangan masyarakat moden.
Bukan sekadar aktiviti riadah, memanah kini dilihat sebagai satu cabang sukan yang mampu membentuk disiplin, meningkatkan keyakinan diri serta menguji tahap fokus seseorang.

Suasana Pertandingan Memanah di Lapang Sasar Bukit Panau Tanah Merah.
Semangat itu dizahirkan menerusi Pertandingan Memanah yang berlangsung di Lapang Sasar, Bukit Panau pagi ini sempena Program Jiwa@Komuniti Madani Sembang Santai KM Tepi Sungai Tanah Merah.
Program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Tanah Merah dengan kerjasama Komuniti MADANI (KM) Tepi Sungai dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Barakah itu berjaya menarik penyertaan seramai 80 peserta, manakala hampir 200 orang hadir memeriahkan program.
Menurut ketua pengadil pertandingan Mohd Shahriman Che Ali, 51, dari Kampung Bukit Mas, memanah bukan sekadar menguji kemahiran fizikal semata-mata, malah turut melatih kekuatan mental.
“Apabila seseorang melakukan aktiviti memanah, dia belajar untuk membuat keputusan dengan yakin, bertawakal dan kekal tenang. Sukan ini membina kekuatan minda dan jiwa yang kental,” jelas beliau.

Nur Emieeylia (kanan) sedang mencuba panah sambil terperhatikan Che Rozita.
Turut membantu mengadili pertandingan ialah isterinya, Che Rozita Saimi, 47, yang berkongsi pandangan serupa.
“Memanah bukan sahaja mengimbau warisan tradisional, tetapi turut membentuk keyakinan diri dalam kehidupan seharian,” katanya sambil tersenyum.
Bagi peserta, Nur Emieylia Syafieyka Kamaruddin, 29, dari Kampung Berchang, di sini pengalaman mencuba memanah buat pertama kali amat bermakna walaupun diakui sedikit mencabar.
“Saya memang nak cuba untuk uji kebolehan sendiri. Memang susah sikit nak kawal busur, tapi bila anak panah tepat ke tengah sasaran, rasa sangat puas hati,” katanya yang hadir bersama suaminya, Mohd Faizal Ridza Mohd Saupi, 35, serta tiga anak mereka.
Selain pertandingan memanah, turut diadakan acara bidas tradisional, menambahkan lagi variasi aktiviti yang mengimbau elemen budaya nenek moyang.
Antara yang hadir memeriahkan program termasuk Pegawai Penerangan Daerah Tanah Merah Mohd Sanusi Arffin dan Ketua Komuniti MADANI Tepi Sungai, Noor Azizah Abdul Halim.
Program ini jelas membuktikan bahawa warisan lama seperti memanah masih mampu disemarakkan, bukan sahaja sebagai aktiviti riadah tetapi juga sebagai medium membina jati diri dalam kalangan komuniti setempat.
-ZS-