
Laporan/foto: Memi Yusoff/Hazel (Selangor)
SHAH ALAM, 24 Jun (MalaysiaAktif) ā Majlis Menandatangani Enam Perjanjian Kolektif antara kesatuan sekerja All Malayan Estates Staff Union (AMESU) dan majikan dalam sektor perladangan berjaya dimeterai secara serentak, semalam.

Sesi penyerahan perjanjian antara AMESU dengan majikan dalam sektorĀ perladangan
Perjanjian tersebut melibatkan AMESU dengan Malayan Agricultural Producers Association (MAPA), IOI Group of Companies, Dara Lam Soon Sdn Bhd, Arah Kawasan Sdn Bhd, HK Gua Musang Sdn Bhd dan YPJ Plantations Sdn Bhd.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata AMESU antara kesatuan tertua yang mewakili lebih 5,000 pekerja ditubuhkan sejak 1927, manakala MAPA pula merupakan wakil kepada 93 syarikat perladangan utama di seluruh negara.
āMajlis ini dianggap pencapaian luar biasa dalam sejarah perjuangan pekerja kerana buat pertama kalinya enam Perjanjian Kolektif berjaya dimeterai serentak.
āPerjanjian itu juga bakal meningkatkan manfaat lain dalam meningkatkan produktiviti dan menambah baik kesejahteraan warga kerja dalam sektor perladangan,ā katanya ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Enam Perjanjian Kolektif itu di sini, semalam.

Steven hadir pada majlis menandatangani Perjanjian Kolektif antara AMESU dan majikan sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan pekerja sektor perladanganĀ diĀ negaraĀ ini
Menurut Setiausaha Agung AMESU, R Jey Kumar, kejayaan memeterai enam Perjanjian Kolektif secara serentak itu dianggap pencapaian luar biasa dalam sejarah pergerakan pekerja negara kerana tidak pernah berlaku sebelum ini.
Melalui perjanjian tersebut katanya, ahli-ahli AMESU bakal menikmati kenaikan gaji sehingga 12 peratus bermula 1 Januari 2025, dan para pekerja juga akan menerima bayaran tunggakan gaji (arrears) antara RM3,000 hingga RM10,000 bergantung kepada gred jawatan, tempoh perkhidmatan serta kadar elaun masing-masing.
“Pekerja tidak lagi tertakluk kepada kadar gaji minimum RM1,700 sebulan, sebaliknya akan menerima gaji permulaan minimum baharu sebanyak RM1,800 sebulan sejajar dengan struktur gaji yang lebih baik di bawah perjanjian ini.
“Selain itu, pelbagai manfaat tambahan turut diperkenalkan sebagai langkah meningkatkan kesejahteraan pekerja dan mendorong peningkatan produktiviti dalam sektor perladangan,” ujarnya.
Tambah Jey Kumar, AMESU turut menzahirkan penghargaan kepada Steven atas kesudian hadir dan menjadi saksi kepada majlis bersejarah berkenaan yang menurut mereka mencerminkan komitmen, kegigihan serta keseriusan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam memperjuangkan nasib serta membela kebajikan para pekerja.
āAMESU percaya dan yakin KESUMA hari ini berada di landasan yang tepat dalam menyokong agenda pekerja serta memastikan para pekerja negara ini mendapat pampasan kerja yang setimpal dan bermaruah,āĀ ujarnya.
-AA-