
Laporan/ Foto : Norlia Mili (Sarawak)
Kuching, 24 Jun (MalaysiaAktif) – Kempen ‘Go Bald’ yang mula dilancarkan pada tahun 2009 sebagai salah satu inisiatif pengumpulan dana dan meningkatkan kesedaran tahunan untuk Persatuan Kanser Kanak-Kanak Sarawak (SCCS) di mana peserta mencukur kepala mereka untuk menunjukkan solidariti dengan kanak-kanak yang memerangi kanser.

Mary Kiw, menyampaikan ucapan sebelum acara ‘Go Bald’ dimulakan.
Presiden SCCS, Mary Kiw menekankan bahawa kempen ini bukan sekadar mencukur kepala tetapi satu kenyataan berani yang melambangkan kasih sayang, solidariti dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kanak-kanak yang sedang berjuang menjalani rawatan kanser.
“Sama ada anda mencukur kepala, menderma, menjadi sukarelawan atau sekadar hadir memberikan sokongan, anda sedang membawa satu perubahan yang bermakna.

Karen Kueh (kanan) bersama anaknya Daniel (dua dari kanan) serta ahli keluarga yang turut menyertai kempen ‘Go Bald’.
“Dengan mencukur kepala, kita menyampaikan mesej jelas kepada kanak-kanak dan keluarga mereka bahawa mereka tidak keseorangan dan kita berdiri teguh bersama mereka dalam perjuangan ini,” tambahnya lagi semalam.
Sementara itu, ibu kepada ‘survivor’ kanser, Karen Kueh Keng Thian, 49, berterima kasih atas bantuan kewangan untuk membiayai rawatan anaknya Daniel Kueh, 16, termasuk lah sokongan moral yang dihulurkan.
Karen turut menyeru orang ramai menghulur sumbangan serta memberi sokongan terhadap program anjuran SCCS.

Phang Pian Fui (tiga dari kanan) menunggu giliran untuk mencukur rambut sebagai tanda sokongan.
Bagi Phang Pian Fui, 46, pula dengan menyertai acara seumpama ini, secara tidak langsung beliau turut sama-sama menyalurkan sedikit sumbangan untuk rawatan kanak-kanak yang menghidap kanser.
“Kita dapat menyelami perasaan kanak-kanak yang mengalami keguguran rambut akibat rawatan kanser yang dijalani mereka,” ujarnya.
Pada kempen ‘Go Bald’ yang diadakan di Kuching semalam, seramai 95 peserta telah mendaftar.
-RJ-