Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Malaysia Aktif@Komuniti 2025 Tanah Merah Kembali Meriah, Sertai Program Gaya Hidup Sihat

By 2 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh

TANAH MERAH, 25 Jun (MalaysiaAktif) – Suasana pagi di Dataran Majlis Daerah Tanah Merah cukup meriah dan penuh warna apabila lebih 200 penduduk setempat berkumpul bagi menjayakan Program Malaysia Aktif@Komuniti 2025 peringkat daerah, hari ini.

Program yang berlangsung seawal jam 8.00 pagi ini dianjurkan oleh Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah bersama Kelab Sukan Senamrobik Bechah Laut dengan kerjasama Majlis Daerah Tanah Merah.

Senam aerobik diketuai oleh Ahmad Mardzuan Mohamad

Bukan sekadar acara rutin, program ini menjadi pentas terbaik untuk warga Tanah Merah memulakan hari dengan aktiviti kecergasan, selain memupuk semangat komuniti yang sihat dan ceria.

Menurut Pegawai Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah, Wan Abdul Rahman Wan Ismail, 54, program ini adalah sebahagian daripada inisiatif untuk mempromosikan gaya hidup sihat melalui aktiviti kecergasan yang santai dan menyeronokkan.

“Alhamdulillah, sambutan yang diberikan amat menggalakkan. Program sebegini bukan sahaja menggalakkan kecergasan fizikal, malah mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya penuh optimis.

Turut mencuri perhatian ialah kehadiran anggota RELA Tanah Merah yang turut serta menyokong program ini. Nor Amira Ishak, 30, Pegawai RELA Daerah, hadir bersama sepuluh anggota pasukannya dan mengakui program seperti ini wajar dilaksanakan lebih kerap, terutamanya untuk memastikan pasukan beruniform sentiasa cergas dan bersedia.

Pegawai Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah Wan Abdul Rahman Wan Ismail yang menyertai program tersebut

“Kami sentiasa utamakan kecergasan kerana ia kunci kepada tahap kesiapsiagaan yang tinggi. Program seperti ini bukan sahaja baik untuk anggota RELA, tetapi untuk semua lapisan masyarakat,” katanya.

Program ini juga tidak hanya terhad kepada golongan dewasa atau pasukan beruniform. Kelibat ibu muda bersama bayi turut menceriakan suasana.

Siti Fairuz Fazilah Osman, 36, ahli Kelab Sukan Senamrobik Bechah Laut, turut hadir bersama bayi perempuannya, Al Fath Ean, berusia lapan bulan, untuk sama-sama menikmati aktiviti santai tersebut.

“Walaupun agak penat uruskan rumah tangga, saya tetap bawa anak datang. Sekurang-kurangnya dapat keluar sekejap, tenangkan fikiran sambil bersenam. Badan sihat, hati pun gembira,” ujarnya sambil tersenyum.

Jelas terpancar semangat komuniti yang kuat dan gaya hidup sihat yang semakin mendapat tempat dalam kalangan warga Tanah Merah.

Program sebegini bukan sahaja membina tubuh yang sihat, malah menyemai hubungan erat dalam komuniti setempat — bukti Malaysia Aktif@Komuniti 2025 terus menjadi platform yang dinanti-nantikan oleh semua.

-AA-

Tinggalkan komen anda