Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

SMK Tun Ismail Ungguli Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Daerah Batu Pahat

By 14 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Abassalimi Mohamad (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 26 Jun (MalaysiaAktif) – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Ismail muncul juara Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Kelab Malaysiaku Peringkat Daerah Batu Pahat yang berlangsung dengan penuh semangat patriotik di Pejabat Penerangan Daerah Batu Pahat, semalam.

Program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Batu Pahat ini menyaksikan penyertaan empat buah sekolah, iaitu SMK Tun Ismail, SMK Sri Medan, SMK Tun Aminah dan SMK Banang Jaya yang mewakili Kelab Malaysiaku masing-masing.

Salah seorang peserta dari SMK Tun Ismail Muhammad Faiz Danial Mohd Faizal, 19, menyifatkan pertandingan ini sebagai satu usaha penting dalam menyemai rasa cinta kepada negara.

Empat buah sekolah, iaitu SMK Tun Ismail, SMK Sri Medan, SMK Tun Aminah dan SMK Banang Jaya – menyertai program Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Kelab Malaysiaku anjuran Pejabat Penerangan Daerah Batu Pahat pada tahun ini.

“Kami generasi muda perlu didedahkan dengan program-program yang mengangkat tokoh dan peristiwa penting negara sebagai pemangkin semangat cintakan tanah air,” ujarnya yang turut dinobatkan sebagai Peserta Pengisahan Terbaik Kategori Lelaki.

Program ini dijayakan lagi dengan pengisian sesi ceramah kesedaran berkaitan isu sosial semasa bertajuk Bahaya Vape disampaikan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat, Dr. Siti Noranisah Rahmat.

Manakala ceramah berkaitan Bahaya Penggunaan Dadah disampaikan oleh Penolong Pegawai Antidadah Daerah Batu Pahat Mohd Norazwan Zaidi.

Menurut ketua juri pertandingan Sofian Abd Manan, yang juga Pegawai Penerangan Daerah Segamat, para peserta telah mempamerkan mutu penceritaan yang tinggi serta berjaya menyampaikan mesej kenegaraan dengan berkesan.

Musliha Yusof (tengah) bersama barisan juri, penceramah, guru pengiring, dan peserta Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Kelab Malaysiaku Peringkat Daerah Batu Pahat 2025.

“Semua peserta mempersembahkan penceritaan yang berkualiti dan mampu mengetengahkan tokoh-tokoh negara dengan berkesan.

“Pertandingan ini bukan sekadar medan untuk mencungkil bakat bercerita, malah menjadi platform penting dalam menyampaikan mesej kenegaraan serta membangkitkan semangat cintakan tanah air dalam kalangan pelajar,” katanya.

Sofian berkata, setiap pasukan menampilkan persembahan yang mantap dan menyentuh emosi, lengkap dengan elemen dramatik dan nilai sejarah yang menyentuh hati, sekali gus menghidupkan semangat perjuangan tokoh-tokoh negara yang dipersembahkan.

“SMK Tun Ismail dinobatkan sebagai johan pertandingan dan akan mewakili Daerah Batu Pahat ke peringkat seterusnya yang dijadual berlangsung pada bulan Julai nanti,“ katanya.

Turut hadir Pegawai Penerangan Daerah Batu Pahat Musliha Yusof.

-ZS-

Tinggalkan komen anda