
Laporan/foto: Shahqrul Azim Shaari (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI, 26 Jun (MalaysiaAktif) – Tentera Darat (TD) melalui Formasi Tujuh Briged telah menganjurkan Pameran Ketenteraan bertempat di Dewan Tanjung Sedili, di sini semalam yang berjaya menarik kehadiran lebih seribu pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat.

Syed Abu Bakar menyambut baik penganjuran program ini yang memperkukuh hubungan tentera dan masyarakat.
Program ini bertujuan merapatkan hubungan antara anggota tentera dan komuniti setempat di samping memberi pendedahan berkaitan aset serta keupayaan Angkatan Tentera Darat Malaysia.
Ketua Komuniti MADANI Tanjung Sedili Syed Abu Bakar Syed Salim, menyambut baik penganjuran program tersebut dan menyifatkannya sebagai satu inisiatif yang memperkukuh hubungan antara tentera dan masyarakat.
“Melalui program ini, jurang antara masyarakat dan TD dapat dirapatkan. Masyarakat dapat beramah mesra dengan anggota TD serta mengenali aset ketenteraan bagi mempertahankan negara,” katanya.

Irfan bercita-cita untuk menyertai Tentera Darat bagi mempertahankan negara
Syed Abu Bakar turut menambah kanak-kanak juga mendapat pengalaman berharga apabila berpeluang mencuba kenderaan, merasai makanan serta melihat sendiri penggunaan senjata yang digunakan oleh TD.
Seorang pelajar yang ditemui, Irfan Mahazir, 19, menyatakan keterujaannya menghadiri program tersebut.
“Melalui program ini, saya dapat merasai makanan yang dimakan oleh anggota tentera ketika operasi dan memahami fungsi barangan yang digunakan oleh mereka. Ia juga menyuntik semangat saya untuk bercita-cita menjadi askar demi mempertahankan negara,” ujarnya.
Pihak TD dalam pada itu turut menyeru orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan sekitar dengan menghubungi talian 011-5656 2949.
-ZS-