
Laporan/foto: Mohd Shahrizan Shahabudin/Mahyudin Abd Rani
NIBONG TEBAL, 26 Jun (MalaysiaAktif) – Usahawan yang memenuhi syarat wajib zakat digesa agar menunaikan zakat perniagaan sebagai langkah memperkukuh ekonomi ummah dan menjamin keberkatan dalam perniagaan.
Gesaan itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Mohamad Kairi Ghazali, dalam satu program santai bertemakan Zakat Bagi Senang, Bisnes Lagi Senang yang berlangsung di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Sungai Bakap, Simpang Ampat, di sini kelmarin.

Mohamad Kairi Haji Ghazali, berkata zakat mengelakkan kita daripada mengambil hak orang lain.
Menurutnya, Zakat Pulau Pinang menyasarkan kutipan sebanyak RM200 juta tahun ini bagi membiayai pembangunan modal insan serta usaha pengurangan kemiskinan di negeri itu.
“Dengan menunaikan zakat, kita bukan sahaja menyucikan harta daripada unsur syubhah dan yang meragukan, malah ia juga mengelakkan kita daripada mengambil hak orang lain. Apabila harta berkat, perniagaan juga akan lebih berkembang,” katanya.
Sesi taklimat zakat perniagaan telah disampaikan oleh Nursiddiq Saad, manakala slot bantuan keusahawanan disampaikan oleh Ustaz Muhammad Shahril Mohd Nasir, pegawai Zakat MAINPP.

Sesi perkongsian bersama Pengasas dan Pengarah Urusan Pak Ali Food Industries Sdn. Bhd.
Turut hadir Pengasas dan Pengarah Urusan Pak Ali Food Industries Sdn. Bhd. Datuk Haji Alias Haji Ali, yang berkongsi pengalaman dan amalan berzakat dalam membina perniagaan yang berkat serta bertahan lama.
Program anjuran Bahagian Pemasaran Zakat MAINPP dengan kerjasama Komuniti MADANI Lembah Tasek dan NADI Daerah Seberang Perai Selatan ini dilihat sebagai salah satu platform mendekatkan institusi zakat dengan komuniti usahawan tempatan, di samping mengukuhkan kesedaran mengenai tanggungjawab sosial dan keagamaan dalam dunia perniagaan.
-ZS-