
Laporan/foto: Mohd Mardah Hj Omarsah/Zainudin bin Nurdin (Beluran)
BELURAN, 25 Jun (MalaysiaAktif) – Kesedaran mengenai tanggungjawab sebagai pengundi serta kefahaman terhadap sistem demokrasi wajar disemai sejak di bangku sekolah.
Bagi memenuhi hasrat itu, Pejabat Penerangan Daerah Beluran bersama Kelab Malaysiaku Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beluran Bestari melaksanakan simulasi Pilihan Raya di sekolah berkenaan dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pelajar SMK Beluran Bestari menyertai simulasi pilihan raya mengikut prosedur sebenar, termasuk proses pengundian dan pengiraan undi, sebagai pendedahan awal terhadap sistem demokrasi negara.
Guru Penyelaras Kelab Malaysiaku SMK Beluran Bestari, Vivian Vera Jukimin, menyifatkan program itu sebagai wadah pendidikan sivik yang relevan dan signifikan untuk pembentukan jati diri pelajar.
“Di mana ianya memberi ruang kepada pelajar untuk memahami hak dan tanggungjawab mereka sebagai bakal pengundi sejajar dengan usaha membentuk generasi celik demokrasi.
“Ini juga penting melahirkan pengundi muda yang matang dan bijak dalam membuat pilihan serta dapat membentuk nilai patriotisme, semangat cinta negara mereka ini adalah merupakan pemimpin pelapis masa depan negara,” katanya ketika ditemui pada Program Jiwa Madani@Kelab Malaysiaku di sini pada Selasa.
Sementara itu, pelajar Tingkatan Enam, Joshua Maiko, 18, berkata, pengalaman menyertai simulasi itu membangkitkan kesederan dalam dirinya sebagai pengundi muda yang bertanggungjawab.
“Simulasi Pilihan Raya yang dihadiri memberikan pengalaman yang amat bermakna kepada kami sebagai pengundi muda tentang pentingnya setiap undi dan peranan rakyat dalam menentukan hala tuju negara yang lebih kukuh dan stabil,” ujarnya.

Ebur memberikan taklimat dan menjawab pertanyaan daripada pelajar semasa Program Jiwa MADANI@Kelab Malaysiaku, kelmarin.
Untuk makluman, program tersebut disertai seramai 40 pelajar Tingkatan Enam Rendah dengan pelbagai pengisian antaranya dengan sesi taklimat dan soal jawab bersama Pegawai Penyelaras Pendidikan Pengundi, SPR, Ebur Sabtar.
Simulasi pilihan raya yang diadakan mengikut spesifikasi sebenar proses pengundian termasuk penggunaan kertas undi, peti undi, dakwat kekal, daftar pemilih di samping peluang memainkan peranan sebagai petigas SPR serta pemerhati.
-RJ-