Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

125 Pelajar Terima Bantuan Tambang Bas Sekolah Bernilai RM60,000

By 7 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)

ISKANDAR PUTERI, 26 Jun (MalaysiaAktif) – Seramai 125 pelajar daripada 22 buah sekolah menengah sekitar Iskandar Puteri menerima manfaat Bantuan Tambang Bas Sekolah yang dianjurkan oleh Yayasan Penyayang Iskandar Puteri dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM60,000.

Pandak berharap agar program seumpama ini dapat diperluaskan ke kawasan lain dan dijadikan contoh kepada inisiatif sosial yang memberi kesan langsung kepada komuniti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad, berkata inisiatif tersebut merupakan satu bentuk pelaburan sosial yang strategik dan mampu memberi kesan jangka panjang terhadap masa depan pelajar-pelajar terlibat.

“Setiap pelajar layak menerima bantuan bernilai RM80 sebulan yang bertujuan meringankan beban kos pengangkutan harian, khususnya bagi keluarga berpendapatan rendah.

“Ini adalah pelaburan sosial yang sangat strategik. Kita bukan hanya membantu pelajar sampai ke sekolah, kita sedang memastikan mereka tidak tercicir daripada pendidikan dan membuka lebih banyak pintu harapan kepada masa depan mereka,” katanya semasa menyempurnakan majlis penyerahan bantuan tersebut bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Nusa Jaya, di sini hari ini.

Menurutnya, kerjasama antara masyarakat, sektor awam dan organisasi bukan kerajaan seperti Yayasan Penyayang Iskandar Puteri, mampu memberi impak positif yang melangkaui sekadar bantuan kewangan.

Program Bantuan Tambang Bas Sekolah ini mencerminkan komitmen berterusan Yayasan Penyayang dalam membela kebajikan masyarakat serta memastikan akses kepada pendidikan tidak terhalang oleh kekangan kewangan.

“Saya percaya bahawa apabila masyarakat, sektor awam dan organisasi seperti Yayasan Penyayang berganding bahu, kita mampu menyentuh lebih banyak kehidupan dan mencipta impak yang berkekalan,” katanya.

Pandak turut berharap agar program seumpama ini dapat diperluaskan ke kawasan lain dan dijadikan contoh kepada inisiatif sosial yang memberi kesan langsung kepada komuniti.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Yayasan Penyayang Iskandar Puteri atas usaha yang amat bererti ini,” katanya.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid Jabatan Pendidikan Negeri Johor Mohd Hatta Muhamad, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Johor Bahru Saliman Selamat, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kulai Kamarudin Mohd Ali dan Pengetua SMK Taman Nusa Jaya Nadzaruddin Mohd Taib.

-ZS-

Tinggalkan komen anda