
Laporan/foto: Adelaidah Arshad/Mohd Shakir Md Salleh (Lahad Datu)
LAHAD DATU, 26 Jun (MalaysiaAktif) – Pendidikan demokrasi perlu dimulakan seawal usia agar generasi muda lebih memahami sistem pemerintahan negara serta peranan mereka sebagai pengundi yang celik demokrasi.
Melalui pendekatan yang bersifat interaktif dan praktikal, nilai patriotisme serta kesedaran sivik dapat dipupuk dalam kalangan pelajar menerusi Program JIWA Madani@Kelab Malaysiaku Simulasi Pilihan Raya di peringkat sekolah.

Hendry ketika menyampaikan ucapan semasa Program JIWA Madani@Kelab Malaysiaku di Dewan Tun Mustapha, semalam.
Pegawai Penerangan Daerah Lahad Datu, Hendry Nurdin, menyifatkan program bekenaan adalah salah satu inisiatif berimpak tinggi yang mampu menanam dan memperkukuh nilai-nilai demokrasi dalam kalangan generasi muda.
“Pendidikan mengenai amalan demokrasi sangat penting untuk diterapkan kepada generasi muda seawal di peringkat sekolah.
“Dalam program ini, pelajar bukan sahaja hadir sebagai peserta, malah diberi peranan penting dalam setiap fasa program. Contohnya, daripada pengacara majlis, pembaca doa dan ikrar, hinggalah menjadi petugas pilihan raya semasa simulasi dijalankan.

Para pelajar terlibat secara langsung dalam simulasi proses pengiraan undi sebagai sebahagian pengisian program.
“Mereka diberi ruang untuk memahami secara langsung bagaimana proses demokrasi berlangsung dan dalam masa yang sama dapat mengasah kemahiran kepimpinan, komunikasi serta kerja berpasukan,” katanya ketika ditemui dalam program berkenaan di sini pada Rabu.
Salah seorang peserta, Nur Rahadatul Aisy Safiyah, 18, yang diberi tanggungjawab sebagai pengacara majlis pusat mengundi menyifatkan pengalaman tersebut sebagai sesuatu yang amat berharga.
“Saya sangat bersyukur diberi peluang untuk mengacarakan majlis ini. Ia bukan sahaja memberi pengalaman bermakna buat saya terutama dalam proses pilihan raya, malah membantu saya mengasah bakat pengacaraan dan meningkatkan keyakinan diri,” ujarnya.

Hendry (tengah, baju biru), Ebur (tengah, baju kuning) bergambar bersama guru-guru penyelaras Kelab Malaysiaku, agensi pempamer dan pelajar dalam Program JIWA Madani@Kelab Malaysiaku.
Untuk makluman, program tersebut melibatkan enam buah sekolah sekitar Lahad Datu iaitu SMK Silabukan, SMK Agaseh, SM Sains Lahad Datu, SMK Segama, SMK Sepagaya dan SMK Terusan.
Antara pengisian adalah sesi taklimat dan soal jawab bersama Pegawai Penyelaras Pendidikan Pengundi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ebur Sabtar.
Program ini turut disertai Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Bank Islam Malaysia Berhad dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) yang membuka reruai pameran bagi memberi maklumat serta khidmat nasihat kepada para peserta.
-RJ-