
Laporan/foto: Mohd Faizal Mansor/Mazlin Basir (Pontian)
PONTIAN, 28 Jun (MalaysiaAktif ) – Program Komuniti Selamat One Stop Centre anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Pontian mendapat sambutan dan sokongan padu daripada pelbagai agensi kerajaan serta komuniti setempat dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah di daerah ini.

Ceramah mengenai bahaya dadah oleh pegawai dari AADK Pontian
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nenas Tan Eng Meng, berkata program berkenaan merupakan langkah proaktif dalam menangani isu penyalahgunaan dadah yang kini menunjukkan tren peningkatan membimbangkan di beberapa kawasan mukim dalam DUN tersebut.
“Usaha ini perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan dengan pendekatan yang lebih mesra masyarakat. Masih ramai tidak mengetahui saluran yang betul untuk mendapatkan bantuan atau melaporkan kes melibatkan ahli keluarga,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di Dewan Haji Othman, Kampung Parit Kudus, di sini hari ini.

Tan Eng Meng (tiga dari kiri) melawat meja edaran bahan penerbitan oleh Pejabat Penerangan Daerah Pontian
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada AADK Pontian atas inisiatif menganjurkan program tersebut dan berterima kasih kepada agensi yang turut serta antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan Pejabat Penerangan Daerah Pontian.
Tan berkata stigma sosial terhadap penyalahgunaan dadah masih menjadi halangan kepada masyarakat untuk tampil mendapatkan bantuan, justeru program seumpama itu penting bagi memberikan kefahaman dan kesedaran secara terus kepada penduduk setempat.
Menurut beliau kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi sentiasa konsisten dalam mendukung usaha membanteras penyalahgunaan dadah, selaras agenda pembangunan sosial negeri.
“Kestabilan politik yang dinikmati ketika ini membolehkan pelaksanaan program sosial dan pembangunan insan dijalankan secara lebih menyeluruh dan berkesan,” katanya.
Turut hadir, Ketua AADK Daerah Pontian Qiatuddin Aliyuddin dan Penghulu Mukim Pontian merangkap Ketua Komuniti Madani Kampung Maju Jaya Mohamad Muhaimin Hussin.
-AA-