
Laporan/foto: Azrul Azham (Jerantut)
JERANTUT, 29 Jun (MalaysiaAktif) – Siapa sangka, desakan rakan-rakan membawa Siti Saadah Rozi, 27, menyertai Pertandingan Pencarian Puspawangi, sekali gus menjadikan beliau antara peserta yang mencuri perhatian dalam acara unik itu.

Peserta mengasingkan rempah ratus
Menurutnya, beliau pada mulanya memang tidak mengetahui pertandingan ini mengenai apa.
“Tapi saya tahu watak Puspawangi ni pernah muncul dalam filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee iaitu Musang Berjanggut,” katanya sambil ketawa kecil.
Beliau mengakui sedikit gementar selepas mengetahui format pertandingan yang memerlukan peserta mengasingkan pelbagai jenis rempah ratus tradisional dalam tempoh masa tertentu.
Namun, beliau nekad menyahut cabaran tersebut dan berjaya menyelesaikan tugasan mengasingkan kesemua 9 jenis rempah.

Semua pemenang pertandingan bergambar kenangan bersama YB Haris Salleh Hamzah
“Paling mencabar, nak bezakan antara beras dengan lada putih, Itu saya ambil masa lebih sikit,” katanya.
Pertandingan ini merupakan salah satu pengisian menarik sempena Program Penyemarakan Seni Budaya, Budaya@Komuniti Pulau Tawar Kampung Kas yang berlangsung selama dua hari, iaitu 28 dan 29 Jun di Dewan Terbuka Kampung Kedondong.
Sepanjang program, pengunjung disajikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan dan permainan tradisional seperti Gendang Pahang, Silat Seni Asli Pahang, gasing pangkah, lagu rakyat serta tarian tradisional.
Selain itu, turut diadakan beberapa aktiviti pertandingan seperti, Syair, Sepak Raga Ratus, Kukur Nyior, Mencari Puspawangi, pertandingan menulis khat, dan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.
Majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Ahli Dewan Negeri Pahang merangkap Penyelaras DUN Pulau Tawar YB Haris Salleh Hamzah.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang Mohd Rizal Ismail, Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan dan Kesenian Daerah Jerantut, YH Dato’ Ridzuan Mansor, ketua-ketua jabatan serta pemimpin setempat.
-AA-