
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Facebook Onn Hafiz Ghazi (Johor)
SINGAPURA, 1 Jul (MalaysiaAktif) – Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link terus mencipta sejarah apabila menyaksikan satu lagi pencapaian penting dengan berlangsungnya gimik pelancaran RTS Link 01, di sini semalam.

Pengenalan dan pelancaran rasmi tren RTS Link 01 telah berlangsung di Pusat Ujian Rel Singapura (SRTC) di Tuas, Singapura, semalam.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, dalam satu kenyataan semalam berkata RTS Link merupakan sistem pengangkutan rel moden berkecekapan tinggi yang menghubungkan Bukit Chagar, Johor Bahru ke Woodlands North, Singapura dalam tempoh hanya lima minit perjalanan.
“Ia mampu membawa sehingga 10,000 penumpang sejam setiap hala dengan kekerapan tren setiap 3.6 minit pada waktu puncak dan dijangka dapat menampung hingga 180,000 penumpang setiap hari.
“RTS Link adalah pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Johor serta usaha menjadikan negeri ini sebagai kuasa ekonomi utama rantau,” katanya.
Beliau berkata projek strategik berimpak tinggi itu bukan sahaja bakal menyelesaikan isu kesesakan rentas sempadan yang telah lama membelenggu rakyat, malah menjadi simbol kerjasama erat antara kedua-dua negara.
Setakat Jun 2025, projek berkenaan telah mencapai 56 peratus kemajuan fizikal merangkumi pembinaan landasan, pembangunan stesen serta pelaksanaan ujian sistem dan tren.

RTS Link 01 dilengkapi paparan peta laluan dinamik serta ruang khas untuk penumpang berkerusi roda, direka khas bagi memenuhi keperluan mobiliti dan menyelesaikan isu kesesakan di pintu sempadan.
Onn Hafiz yakin sekiranya pembangunan infrastruktur moden seperti RTS Link mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan serta kerajaan Singapura dalam menyediakan sistem pengangkutan awam yang efisien, selamat dan mesra pengguna.
“RTS Link disasarkan mula beroperasi sepenuhnya menjelang akhir tahun 2026.
“Semoga kemudahan awam di Johor terus ditambah baik demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri yang seimbang dari segi fizikal serta sosial,” katanya.
Turut hadir Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura Jeffrey Siow, Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Luar Singapura Dr. Vivian Balakrishnan.
-FN-