
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/PSA
SHAH ALAM, 1 Jul (MalaysiaAktif) – Sebanyak 421.35 kilogram minyak masak terpakai berjaya dikumpul hasil sumbangan para pelajar dan kakitangan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA).
Program anjuran Smart Green PSA sempena Hari Mesra Alam itu dilaksanakan secara berfasa bermula Mac lalu melibatkan 250 pelajar dan enam pensyarah serta berjaya menarik perhatian warga kampus untuk lebih prihatin terhadap kelestarian alam sekitar.

Sebanyak 421.35kg minyak masak terpakai berjaya dikumpul sempena Hari Mesra Alam anjuran Smartgreen PSA.
Pengurus Smart Green PSA Raazizah Hussain berkata inisiatif tersebut bertujuan mendidik warga PSA mengenai kepentingan kitar semula sisa dapur.
“Ia juga bagi mengurangkan pencemaran air dan tanah yang berpunca daripada pelupusan minyak secara tidak bertanggungjawab.
“Melalui program ini kita membuka peluang kepada warga kampus untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti yang mampan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Para pelajar diberi pendedahan mengenai pembangunan teknologi hijau dan ekonomi kitaran melalui pengumpulan minyak masak terpakai.
Mengulas lanjut, Raazizah berkata program berkenaan juga bertujuan mewujudkan komuniti kampus yang lebih prihatin terhadap budaya hijau.
“Minyak yang dikumpul boleh diproses semula menjadi biodiesel atau produk mesra alam lain.
“Sekali gus ia menyumbang kepada pembangunan teknologi hijau dan ekonomi kitaran,” jelasnya.
Selain pengumpulan minyak, pelbagai aktiviti mesra alam seperti bengkel pembuatan sabun, gotong-royong dan penanaman pokok serta Explorace Zero Waste turut diadakan.
-FN-