Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Advokasi Keselamatan Jalan Raya Pupuk Kesedaran Golongan Muda

By 7 jam yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Manjasari Shamsudin (Sepang)

SEPANG, 1 Jul (MalaysiaAktif) – Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya Daerah Sepang Peringkat Institusi Pengajian Tinggi anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Daerah Sepang telah diadakan di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), di sini kelmarin.

Program yang dirasmikan oleh Pegawai Daerah Sepang Khairi Azali Ibrahim yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Daerah Sepang ini merupakan satu inisiatif yang amat signifikan dalam menyemai kesedaran dan membudayakan amalan keselamatan jalan raya khususnya dalam kalangan golongan muda iaitu pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi yang merupakan pemegang amanah masa depan negara.

Sesi teori menunggang motosikal secara selamat oleh Konsultan Motowazi.

Menurutnya program tersebut merupakan salah satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pelaksanaan Kempen Keselamatan Jalan Raya  oleh MKJR Negeri Selangor dengan menampilkan ceramah kesedaran yang bertajuk Safe Defensive Riding, demonstrasi keselamatan bermotosikal dan pemeriksaan kenderaan secara percuma oleh Konsultan Motowazi.

Ia bertujuan memastikan mesej keselamatan bukan sekadar disampaikan, tetapi benar-benar difahami dan diamalkan.

“Saya berharap program advokasi keselamatan di peringkat IPT (Institut Pengajian Tinggi) seumpama ini dapat melahirkan generasi berhemah dalam pemanduan di jalan raya agar misi ‘Membudayakan Keselamatan Jalan Raya ke arah Kesejahteraan Negara’ dapat dicapai,” ujarnya.

Katanya kajian oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati secara purata 20 peratus kemalangan jalan raya setiap tahun melibatkan kemalangan motosikal dan 60 peratus kematian terdiri daripada penunggang motosikal. 45 peratus mangsa pula merupakan golongan muda berumur 16 hingga 30 tahun.

“Justeru, bagi mendokong Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022-2030, visi menjadikan Malaysia, sebuah negara sifar kematian akibat nahas jalan raya dan misi ‘Membudayakan Keselamatan Jalan Raya ke Arah Kesejahteraan Negara’ menjadi matlamat utama program ini.

Pelajar IKTBN bergambar kenangan bersama Pegawai Daerah Sepang dan Konsultan Motowazi setelah selesai acara demonstrasi menunggang motosikal.

“Oleh itu, pendidikan dan advokasi keselamatan perlu dimulakan dari awal, bukan sahaja melalui penguatkuasaan undang-undang, tetapi juga melalui pendekatan kesedaran dan pembentukan sikap dalam kalangan penunggang motosikal,” katanya.

Program hasil kerjasama antaranya Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, IKTBN Sepang, Jabatan Penerangan Daerah Penerangan Sepang serta Rakan Strategik Konsultan Motowazi yang menyokong usaha MKJR Sepang.

Pada majlis ini juga telah diadakan acara penyerahan 10 unit topi keledar dewasa kepada pihak IKTBN untuk diserahkan kepada pelajar latihan industri yang terpilih.

Turut hadir Pengarah IKTBN Sepang Hamizatul Azura Hamzah.

-FN-

Tinggalkan komen anda