
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 2 Jul (MalaysiaAktif) – Para pelajar sekolah diseru agar mengamalkan tiga nilai utama dalam penggunaan Internet iaitu berhati-hati, beretika dan bertanggungjawab.
Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembelajaran Yahya Ahmad Puteh berkata sebagai pengguna muda, pelajar perlu tahu bahawa setiap klik, perkongsian dan setiap kata yang ditaip mempunyai kesan.

Samsul (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang Guru Penyelaras Kelab Malaysiaku.
“Penggunaan Internet tidak selamat boleh membawa pelbagai kesan buruk seperti terjerat dalam penipuan siber dan scam, menjadi mangsa buli siber, terpengaruh dengan kandungan tidak sesuai dan paling membimbangkan terdedah kepada pemangsa dalam talian,” katanya semasa merasmikan Program Jiwa@Kelab Malaysiaku Peringkat Labuan, di sini pagi tadi.
Pelajar juga diseru untuk sentiasa mempunyai nilai kenegaraan seperti patriotisme, perpaduan, integriti, hormat-menghormati dan semangat kekitaan yang perlu ditanam dalam diri sejak bangku sekolah.
“Sebagai pelajar anda adalah pemimpin masa depan dan anda memikul tanggungjawab terhadap kestabilan serta kemajuan negara.

Samsul bersama para jemputan dan peserta program bergambar kenangan.
“Hayatilah prinsip Rukun Negara dan amalkan dalam kehidupan harian di sekolah, di rumah dan dalam masyarakat sebagai asas untuk membina negara yang aman, maju dan berwawasan,” jelasnya.
Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Labuan Samsul Mandisin menyampaikan teks ucapan Yahya.
Program oleh kira-kira 50 pelajar serta ahli-ahli Kelab Malaysiaku Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan diisi dengan taklimat kenegaraan, taklimat kempen Internet selamat dan ceramah motivasi.
Hadir sama Pengarah Jabatan Penerangan Labuan Azman Sipan dan Penolong Kanan Kokurikulum Rahman Jumat.
-FN-