
Laporan/foto: Ainsyah Hamid
GERTAK SANGGUL, 3 Jul (MalaysiaAktif) – Penduduk Tanjung Asam kini menikmati kemudahan internet yang lebih pantas dan stabil hasil usaha berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh infrastruktur digital di kawasan luar bandar.
Lawatan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil ke tapak pemancar komunikasi baharu, di sini kelmarin bukan sahaja membuktikan komitmen kerajaan terhadap kesalinghubungan digital malah membawa harapan baharu kepada komuniti setempat yang sebelum ini berdepan cabaran capaian internet.

Fahmi Fadzil mencuba aplikasi rangkaian Internet.
Pemancar yang telah beroperasi sepenuhnya itu menyokong enam syarikat telekomunikasi utama negara sekali gus meluaskan liputan rangkaian kepada pelbagai kumpulan pengguna termasuk penduduk, pelancong, pengguna jalan raya serta para nelayan di perairan sekitar.
Penduduk tempatan, Ahmad Hamizi, 45, gembira menerima manfaat langsung dengan kemudahan baharu ini.
“Sebagai kawasan pelancongan yang sedang membangun, capaian internet yang laju amat penting.
“Kewujudan pemancar ini membuka banyak peluang, bukan sahaja kepada peniaga seperti saya, tetapi juga kepada pelajar dan komuniti nelayan,” katanya.
Kemudahan tersebut seiring dengan inisiatif ‘Di Mana Ada Jalan, Di Situ Ada Internet’, satu manifestasi usaha kerajaan merapatkan jurang digital dalam memastikan tiada rakyat tercicir dari arus pemodenan teknologi.
-FN-