Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Perak Iktiraf Sumbangan Masyarakat Orang Asli

By 9 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sarah Nur Saad (Perak)/JAKOA

IPOH, 4 Jul (MalaysiaAktif) – Seramai 17 pelajar daripada komuniti Orang Asli negeri Perak yang memperoleh keputusan cemerlang 5A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas dianugerahkan Pelajar Cemerlang SPM 2024 Negeri Perak.

Anugerah berkenaan turut diterima tiga pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 2.80 dalam peperiksaan berkenaan tahun lepas.

Penyampaian anugerah-anugerah telah disempurnakan oleh Menteri Besar Perak.

Kesemua permata negeri Perak itu diraikan dalam Majlis Simposium Komuniti Orang Asli Negeri Perak Bersama Menteri Besar Perak Darul Ridzuan yang dihadiri lebih 600 peserta termasuk Tok Batin di Dewan Banquet, Bangunan Kerajaan Negeri Perak, di sini kelmarin.

Unit Komunikasi Koporat (UKK) Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam satu kenyataan memaklumkan program tersebut menyuntik penghargaan kepada pelajar termasuk Yang Beradat Batin Ali Long dari Kampong Takong, Pos Perwor yang menerima Anugerah Kepimpinan Batin.

“Manakala, Muhammad Akmal Ila Ahmad dan Rasila Yas dinobatkan sebagai Anugerah Ikon Orang Asli Negeri Perak serta Nuadis Ngah Man dari Kampung Sungai Perah Daerah Perak Tengah juga diangkat sebagai penerima Anugerah Usahawan Orang Asli,” menurut kenyataan itu.

Gimik perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Besar Perak.

Selain itu, Koperasi Penanam Koko Orang Asli Pos Yum Sungai Siput Utara Berhad menerima Anugerah Koperasi Orang Asli, Kampung Orang Asli Air Bah dari Daerah Hulu Perak sebagai penerima Anugerah SejaTi MADANI Kampung Orang Asli dan Kampung Orang Asli Lata Kinjang, Chendiriang pula membawa pulang Anugerah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli.

Antara penerima lain ialah Kayuh D’Tonggang, Ulu Kinta yang menerima Anugerah Perak Sejahtera 2030 dan Persatuan Orang Asli Perak (Anugerah Persatuan Orang Asli).

MalaysiaAktif turut dimaklumkan oleh Unit Korporat JAKOA bahawa jumlah terkini masyarakat Orang Asli di Negeri Perak ialah seramai 62,774 orang dan menetap di 258 buah kampung.

-FN-

 

 

 

Tinggalkan komen anda