
Laporan/foto: Nik Aula Nik Soh
KUALA KRAI, 4 Jul (MalaysiaAktif) – Setiap pagi kecuali hari Jumaat, Taman Chintawangsa di sini tidak pernah sunyi daripada alunan muzik rancak dan gerakan bertenaga.
Aktiviti senamrobik anjuran Team J Erobik yang berlangsung di situ bukan sahaja memeriahkan suasana, malah menjadi platform memupuk budaya hidup sihat dan mengeratkan hubungan komuniti setempat.

Sebahagian peserta Team J Erobics Kuala Krai.
Lebih 50 peserta pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India dan Siam menyertai aktiviti ini yang diadakan dari 7 pagi hingga 8.15 pagi dan kemeriahan bertambah pada hujung minggu dengan kehadiran lebih ramai peserta dan aktiviti yang lebih berwarna-warni.
Pengasasnya, Toh Cheok Sian, 68, yang mesra digelar ‘Iron Woman’, merupakan individu di sebalik kejayaan kumpulan ini.
Berpengalaman lebih empat tahun dalam bidang senamrobik, beliau komited memimpin sesi harian dengan semangat tinggi.
Toh, yang juga seorang peniaga, percaya aktiviti ini bukan sekadar senaman, tetapi ruang untuk mempererat silaturahim.

Pengasas Team J, Toh Cheok Sian (kiri) dan Pembantu Zahari Yaacob (kanan).
“Senamrobik memberi manfaat besar kepada kesihatan fizikal dan mental. Lebih penting, ia merapatkan hubungan antara komuniti.
“Hasilnya, kami sentiasa raikan musim perayaan seperti Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Hari Kebangsaan bersama-sama. Inilah kekuatan kami,” katanya, di sini kelmarin.
Turut membantu menguruskan aktiviti harian ialah pesara kerajaan Zahari Yaacob, 64, yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran program.
Kumpulan tersebut bukan sekadar dikenali sebagai pencetus semangat hidup sihat, malah menjadi simbol perpaduan di Kuala Krai.
Melalui inisiatif berkenaan masyarakat setempat dapat bersosial secara sihat sambil mengamalkan gaya hidup aktif.
Team J Erobik ternyata contoh terbaik bagaimana aktiviti riadah mampu menjadi pemangkin kepada kesihatan, kebahagiaan dan keharmonian masyarakat pelbagai latar belakang.
-FN-