Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Pelajar Perlu Berani Lapor Kes Buli

By 8 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh

TANAH MERAH, 4 Jul (MalaysiaAktif) – Pelajar sekolah digesa berani tampil melaporkan sebarang insiden buli yang berlaku agar budaya negatif itu dapat dibanteras sepenuhnya.

Asisten Superintenden Polis (ASP) Tuan Azhar Tuan Idris dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah menasihatkan pelajar agar tidak takut melaporkan sebarang bentuk kegiatan buli, sama ada terhadap diri sendiri atau rakan-rakan lain demi keselamatan bersama.

Wan Darul Amar menunjukkan sijil penyertaan yang disampaikan Mohd Srigani.

Menurutnya gejala buli bukan sahaja melibatkan kecederaan fizikal, malah turut memberi kesan emosi yang mendalam terhadap mangsa.

“Buli sering berlaku apabila pelajar yang lemah menjadi sasaran mereka yang suka mendera, baik secara fizikal mahupun emosi. Apa yang lebih membimbangkan adalah apabila ia melibatkan kumpulan atau geng.

“Jika dilaporkan, kes sebegini boleh diklasifikasikan sebagai jenayah, dan polis akan mengambil tindakan tegas,” katanya ketika berucap dalam Program Jiwa@Kelab Malaysiaku di Dewan Al-Khindi, Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah 1, kelmarin.

Katanya kerjasama semua pihak khususnya sekolah dan ibu bapa amat penting bagi memastikan persekitaran pembelajaran kekal selamat dan kondusif.

Pandangan itu disokong Penyelaras Kelab Malaysiaku sekolah Yusleewati Rashid, 37, yang mengakui budaya buli memberi kesan buruk terhadap tumpuan dan motivasi pelajar.

“Buli bukan sahaja menggugat keyakinan diri pelajar, malah menjejaskan fokus mereka terhadap pelajaran. Sebab itu, pihak sekolah sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak polis untuk memantau keselamatan pelajar, termasuk melalui rondaan berkala di dalam dan luar sekolah,” jelasnya.

Soalan kuiz kenegaraan daripada pihak polis kepada Wan Darul.Amar.

Seorang pelajar, Wan Darul Amar Wan Mohd Arifan Adli, 14, dari Kampung Baru, Banggol Kemunting melahirkan rasa lega selepas mengikuti program kesedaran tersebut.

“Sebelum ini, saya hanya dengar tentang buli daripada kawan, akhbar dan internet. Sekarang saya lebih faham bahaya buli dan cara untuk mencegahnya. Saya juga lebih yakin untuk melawan dan mempertahankan diri jika perlu,” katanya yang juga merupakan ahli seni mempertahankan diri.

Program yang menghimpunkan lebih 600 pelajar itu turut dihadiri Pegawai Penerangan Daerah Tanah Merah Mohd Sanusi Ariffin, Penolong Kanan Kokurikulum Mohd Srigani Abdullah serta warga sekolah.

Penganjuran program sebegini dilihat sebagai usaha proaktif pihak sekolah dan agensi keselamatan dalam memastikan institusi pendidikan bebas daripada budaya buli, selain memupuk keberanian, kesedaran serta semangat perpaduan dalam kalangan pelajar.

-FN-

Tinggalkan komen anda