
Laporan/foto: Hasrulazlinda Hassan/KhairulNizam Yunus (Negeri Sembilan)
PORT DICKSON, 4 Jul (MalaysiaAktif) – Banci Pertanian 2024 merupakan usaha nasional yang amat besar ertinya kepada negara amnya dan kepada Negeri Sembilan khususnya dalam memperkasakan maklumat sosial, ekonomi serta alam sekitar bagi setiap pengusaha pertanian yang melaksanakan aktiviti jualan.

Menteri Besar menandatangani plak peluncuran.
Pesuruhjaya Banci Pertanian 2024 Datuk Seri Dr. Uzir Mahidin yakin sekiranya dapatan banci tersebut akan dijadikan sebagai penanda aras sektor pertanian negara dalam penggubalan dasar bagi memacu pemodenan sektor ini untuk meningkatkan keterjaminan makanan negara.
“Banci Pertanian 2024 ialah usaha nasional yang amat besar ertinya. Ia merupakan banci kali pertama selepas 19 tahun merangkumi seluruh subsektor pertanian meliputi tanaman, ternakan, perikanan, perhutanan dan pembalakan,” katanya sewaktu berucap di Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Negeri Sembilan, di sini semalam.
Majlis dirasmikan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Mohd Uzir menyampaikan ucapan aluan.
Portal Sistem Statistik Pertanian Bersepadu atau dikenali sebagai TaniStats yang memberi manfaat kepada pihak berkepentingan dalam mendapatkan maklumat seperti harga pasaran produk pertanian turut dilancarkan.
Turut hadir Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta Ketua-ketua Jabatan dan Agensi Peringkat Negeri dan Persekutuan.
-FN-