Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Wushu Cungkil Bakat Atlet Muda, Bentuk Sahsiah Generasi Berdaya Tahan

By 17 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun/Sharon Yeo (Mukah)

MUKAH, 6 Jun (MalaysiaAktif) – Penyertaan dalam sukan wushu mampu melahirkan atlet muda berbakat di samping membentuk generasi yang berdisiplin, berkeyakinan dan berdaya tahan, kata Pemangku Pegawai Daerah Mukah, Nolin Gendang.

Beliau berkata sukan tersebut bukan sekadar platform untuk mengasah kemahiran seni mempertahankan diri, malah berperanan penting dalam pembentukan sahsiah dan jati diri golongan muda melalui latihan yang tersusun serta bimbingan jurulatih berpengalaman.

“Penyertaan dalam sukan wushu bukan sahaja melahirkan atlet berbakat, malah membantu membentuk sahsiah dan disiplin dalam kalangan generasi muda.

“Melalui latihan intensif dan aktiviti berkumpulan sepanjang kem ini, peserta turut dididik supaya lebih fokus, berani dan tidak mudah berputus asa ketika berdepan cabaran,” katanya kepada Malaysia Aktif, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penganjuran Kem Wushu Taolu dan Wushu Sanda anjuran Persatuan Wushu Bahagian Mukah yang berlangsung di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chong Boon Mukah yang disertai 42 pelajar sekolah rendah dan menengah.

Tambah beliau, latihan yang dikendalikan oleh jurulatih daripada Persekutuan Wushu Sarawak turut membantu meningkatkan keyakinan diri peserta selain memperkukuh kemahiran teknikal dalam sukan tersebut.

Katanya, penglibatan dalam wushu juga memberi manfaat dari segi kesihatan dan kecergasan apabila peserta didedahkan kepada latihan yang mampu meningkatkan ketahanan fizikal, kekuatan otot serta fleksibiliti tubuh badan.

Pada masa sama, aktiviti yang dijalankan sepanjang kem berkenaan berjaya memupuk semangat kerjasama, persahabatan dan perpaduan dalam kalangan peserta.

Nolin turut memuji komitmen Persatuan Wushu Bahagian Mukah yang diterajui Ho Ing Siong dalam menyediakan platform kepada generasi muda untuk mengembangkan bakat sukan dan mengenali warisan budaya yang terkandung dalam seni mempertahankan diri tersebut.

-FN

Tinggalkan komen anda