
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)
SHAH ALAM, 6 Jun (MalaysiaAktif) – Penguatkuasaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) disifatkan sebagai langkah penting yang mampu memberi impak besar terhadap landskap keselamatan digital negara.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor Anfaal Saari berkata ketetapan yang diperkenalkan di peringkat persekutuan itu merupakan usaha proaktif dalam memperkukuh perlindungan pengguna, khususnya kanak-kanak, dalam persekitaran digital yang semakin mencabar.
Menurut beliau, menerusi penguatkuasaan akta tersebut yang bermula Isnin lepas, semua platform media sosial diwajibkan melaksanakan mekanisme pengesahan umur yang sah bagi menyaring pengguna digital.
“Langkah ini penting bagi memastikan individu yang berusia di bawah 16 tahun tidak dibenarkan membuka akaun baharu di mana-mana platform media sosial,” katanya ketika ditemui media pada Program Misi Kembara Vico X Didi and Friends yang berlangsung di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anfaal berkata penyedia platform media sosial turut memikul tanggungjawab besar dalam memastikan ruang digital lebih selamat untuk golongan kanak-kanak.
Menurutnya, tanggungjawab itu merangkumi usaha mengurangkan pendedahan kepada kandungan berbahaya selain menangani pelbagai risiko ancaman dalam talian termasuk isu buli siber.
“Langkah ini selari dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan bukan sahaja ruang fizikal yang mesra keluarga, malah persekitaran digital yang lebih selamat dan sihat untuk perkembangan anak-anak,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan negeri melalui Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi menyokong pelaksanaan inisiatif tersebut serta memastikan manfaatnya dapat dirasai dalam jangka panjang.
-FN




