Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Persediaan Awal Hadapi Masyarakat Menua Perlu Diperkukuh – Nancy

By 2 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aishah Latip (Lundu)/Cassidy Lisut

KUCHING, 6 Jun (MalaysiaAktif) – Sarawak perlu memperkukuh persediaan dalam menghadapi realiti masyarakat menua susulan peningkatan populasi warga emas yang dijangka terus bertambah dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata Sarawak telah memasuki fasa masyarakat menua sejak 2020 apabila penduduk berusia 65 tahun ke atas melebihi tujuh peratus daripada jumlah keseluruhan populasi negeri.

“Berdasarkan unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), lebih seorang daripada lapan rakyat Malaysia dijangka berusia 65 tahun ke atas dalam tempoh 15 tahun akan datang, sekali gus memerlukan pendekatan lebih menyeluruh dalam aspek kesihatan, penjagaan dan sokongan sosial.

“Kita tidak boleh melihat isu penuaan sebagai tanggungjawab keluarga semata-mata kerana ia memerlukan penglibatan semua pihak termasuk kerajaan, institusi pendidikan, sektor profesional dan komuniti bagi memastikan warga emas dapat menjalani kehidupan yang sihat, aktif dan bermaruah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program ISM@Komuniti: Menua Sihat, Komuniti Sejahtera di Dewan Masyarakat Kampung Telaga Air, di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan telah mengambil langkah proaktif menerusi Pelan Tindakan Warga Emas Negara (PTWEN) 2026-2030, manakala Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kini sedang memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas bagi memperkukuh kesejahteraan golongan berkenaan.

Beliau turut menggesa masyarakat mengambil bahagian dalam tinjauan awam berkaitan RUU tersebut supaya pandangan rakyat dapat diterjemahkan dalam penggubalan dasar yang lebih inklusif dan berdaya tahan.

Dalam perkembangan lain, Nancy memaklumkan projek Naik Taraf dan Baik Pulih Jeti Kayu Belian Kampung Telaga Air bernilai RM200,000 telah siap dan memberi manfaat kepada penduduk Kampung Telaga Air, Kampung Sungai Aur, Kampung Sibu Laut dan Kampung Mersan termasuk pelajar, guru serta nelayan yang menggunakan laluan tersebut sebagai penghubung utama.

-FN

Tinggalkan komen anda