Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan Tingkat Kesedaran Bahaya Dadah

By 17 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hasrulazlinda Hassan (Negeri Sembilan)/Ibu Pejabat AADK

PORT DICKSON, 6 Jul (Malaysiaaktif) – Kesedaran mengenai bahaya dadah dalam kalangan rakyat terus dipertingkat menerusi Sambutan Peringatan Hari Antidadah Peringkat Negeri Sembilan yang diadakan dalam mood santai di Dewan Bagan Pinang, di sini semalam.

Program anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) itu membawa mesej ‘Pencegahan Dadah Tanggungjawab Bersama’ secara inklusif kepada masyarakat pelbagai lapisan serta menggalakkan penglibatan komuniti khususnya belia dan keluarga dalam usaha mewujudkan persekitaran bebas dadah.

“Program seperti ini sedikit sebanyak memberikan manfaat dan kesedaran kepada masyarakat bahawa dadah merupakan musuh negara yang paling utama dan perlu dihapuskan selama-lamanya,” kata salah seorang peserta Noorshazana Shaadan, 35, ketika ditemui.

Noorzunita menyampaikan ucapan perasmian.

Dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Wanita Keluarga dan Masyarakat Negeri Sembilan Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim, program berkenaan diisi pelbagai aktiviti seperti konvoi bermotosikal melibatkan 150 orang penunggang.

Mereka membawa misi menyampaikan mesej antidadah secara langsung kepada komuniti melalui aktiviti walkabout dan walking message selain pendaftaran SKUAD Antidadah di lima pantai utama Port Dickson.

Turut diadakan ziarah prihatin ke rumah klien AADK, penyampaian bakul rahmah kepada mereka yang sedang menjalani pemulihan dalam komuniti, aktiviti sukaneka seperti mewarna, fitness dance, pemeriksaan kesihatan, jualan produk serta pameran oleh jabatan dan agensi.

Ziarah kasih dan sumbangan kepada klien AADK.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi Datuk Mohd Faizal Ramli, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK Khairul Anuar Bachok dan Pegawai Daerah Port Dickson Nurhazelin Makli.

-FN-

Tinggalkan komen anda