
Laporan/foto: Syamimi Aaizag Ibrahim/Umi Natrah (Pendang)
PENDANG, 6 Jul (MalaysiaAktif) – Penduduk Kampung Batu 16, di sini telah memperoleh penjelasan terperinci mengenai isu semasa khususnya berkaitan penstrukturan semula tarif elektrik menerusi program sembang santai anjuran Pejabat Penerangan Daerah.

Noor Najah mengedarkan bahan penerbitan berkaitan penstrukturan semula tarif elektrik.
Salah seorang peserta Musliha Usman, 45, berkata beliau lega apabila berpeluang mendengar sendiri penerangan daripada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkenaan isu tersebut pada program hasil kerjasama Komuniti MADANI kampung terbabit.
“Selama ini terlalu banyak pendapat yang berbeza dan tidak dapat dipastikan kesahihannya terutama di media sosial, jadi melalui sesi ini barulah saya benar-benar faham apa yang sebenarnya berlaku,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Taklimat berkenaan berjaya menarik perhatian hampir 50 orang peserta yang berpeluang memahami secara terperinci tujuan, mekanisme serta kesan penstrukturan semula tarif tersebut terhadap pengguna domestik dan industri.
Ia adalah program pertama TNB Kedah bersama komuniti dalam memberi penerangan secara terus berhubung isu penstrukturan semula tarif elektrik seterusnya menjadi platform efektif bagi menjelaskan dasar baharu kerajaan selain mendengar maklum balas rakyat secara langsung.

Mohd Yazid (kiri) bersama Pegawai Penerangan Daerah Pendang selepas menyempurnakan sesi taklimat bersama warga Komuniti MADANI Kampung Batu 16.
Sementara itu, memetik laman sesawang TNB, penstrukturan semula ini bertujuan untuk memastikan kelestarian bekalan tenaga negara serta memberi insentif kepada pengguna untuk mengamalkan penggunaan tenaga secara bijak.
-FN-