
Laporan/foto: Sharman Subramaniam/Suhkur Doni (Klang)
KLANG, 7 Jul (MalaysiaAktif) – Kualiti sungai Klang di negeri Selangor kini diunjurkan berada pada tahap yang semakin baik.
“Pada tahun 2020 kadar pencemaran air Sungai Klang berada pada Tahap (Kelas) 5, namun kini ianya turun pada Tahap 3 melalui bantuan interceptor Selangor Maritime Gateway (SMG), Landasan Lumayan Sdn Bhd, inisiatif rakyat Selangor yang kurang membuang sampah serta projek pendalaman sungai meningkatkan kualiti air Sungai Klang,” ujar Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari di Program Kempen Bebas Plastik Peringkat Daerah Klang, di sini semalam.
Pencemaran sungai diukur menggunakan Indeks Kualiti Air (IKA) yang dibahagikan kepada beberapa kelas bermula daripada Kelas 1 (paling bersih) hingga Kelas 5 (paling tercemar).

Anggaran 2,000 orang yang hadir ke Program Kempen Bebas Plastik anjuran Majlis Bandaraya Diraja Klang.
“Namun e-waste atau kitar semula sisa-sisa elektronik kita masih rendah, masih sekitar dua hingga enam peratus daripada keseluruhan.
“Sebab itu kita masuk fasa kedua iaitu dengan program lebih jitu secara menyeluruh dan juga ‘Zero Discharge Policy‘ dan pelbagai inisiatif-inisiatif lain termasuk dalam bentuk ganjaran atau dendaan jika diperlukan supaya usaha penjagaan alam sekitar bukan lagi di bahu Jabatan Alam Sekitar, Exco Alam Sekitar tetapi menjadi usaha menyeluruh kepada kita semua rakyat dalam negeri ini,” katanya.
Amirudin turut memberitahu Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau bakal disiapkan pada akhir tahun 2026 yang akan membekalkan lebih 1,400 juta liter air sehari untuk kegunaan rakyat Selangor.
Program yang diadakan di Laman Seni Safari anjuran Majlis Bandaraya Diraja Klang dengan kerjasama Unit Perancangan Ekonomi Negeri Selangor serta pelbagai agensi lain dihadiri lebih dua ribu pengunjung yang terlibat dalam pelbagai aktiviti antaranya larian kempen bebas plastik, pertandingan replika kitar semula, senamrobik dan pameran agensi kerajaan.

Acara larian tang dilepaskan oleh Datuk Bandar Diraja Klang Datuk Abd Hamid Husin.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri Jamaliah Jamaluddin, yang hadir turut mengesa semua agensi kerajaan menjadi contoh kepada pemangkin budaya bebas plastik melalui penganjuran acara atau program tanpa penggunaan plastik dalam mengurangkan pencemaran alam sekitar.
Peserta program Azizah Azami, 37, berkata program ini sesuai disertai oleh seisi keluarga di samping memberi kesedaran terhadap bahayanya penggunaan plastik.
Seorang lagi peserta Mohd Zefry Abdul Shahimi, 36, menganggap program sebegini menarik minat anak-anak muda untuk kekal sihat melalui aktiviti larian ceria, senamrobik dan mendapat pengetahuan melalui pameran agensi berkenaan dengan kempen kesedaran bebas plastik.
-FN-