
Laporan/foto: Zatul Iffah Wahab (Kulim)
KULIM, 7 Jul (MalaysiaAktif) – Program Mini Asas Penerangan yang menghimpunkan wakil-wakil Komuniti MADANI dari seluruh daerah Kulim bagi memperkasa kemahiran komunikasi dan penyampaian maklumat melalui media sosial telah diadakan, di sini semalam.

Peserta program diterangkan bagaimana untuk membina naratif dalam media sosial.
Program ini dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif untuk melahirkan duta komuniti yang cekap dalam mendepani cabaran penyebaran maklumat di era digital.
Menurut penyelaras program Rizal Abdul Rahman, 42, Komuniti MADANI perlu membantu kerajaan sebagai penyampai maklumat kepada rakyat.
“Program ini bertujuan membentuk barisan penggerak komuniti yang mampu menjadi ejen penyebar maklumat sahih serta membantu kerajaan menyampaikan dasar dan inisiatif kepada masyarakat secara berkesan,” katanya.
Sesi latihan turut diadakan melibatkan penghasilan kandungan digital seperti video pendek untuk TikTok, Facebook dan YouTube.

Asas sosial media diterangkan oleh penceramah berpengalaman.
Peserta diberi peluang mengasah kemahiran dalam merakam, menyunting dan menerbitkan video bermaklumat dengan mesej yang jelas serta menarik minat pengguna media sosial.
Sepanjang program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Kulim itu berlangsung, peserta diberikan taklimat mengenai pembinaan naratif berkesan di media sosial, termasuk teknik menyusun mesej, memahami audiens serta kepentingan penyampaian maklumat yang sahih dan beretika.
Taklimat tersebut memberi pendedahan kepada peserta mengenai peranan media sosial dalam membentuk persepsi masyarakat serta keupayaannya menyampaikan agenda pembangunan negara dengan lebih dekat kepada rakyat.
-FN-