Skip to main content
Berita TimurBerita TempatanKelantan

Program Sinar Lestari YAPEIM Bawa Sinar Baharu kepada Golongan Memerlukan

By 54 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Fauzan Mahari

PASIR PUTEH, 8 Jul (MalaysiaAktif) – Empat keluarga kurang berkemampuan di daerah ini menerima sinar harapan baharu apabila kediaman baharu diserahkan kepada mereka menerusi Program Inisiatif Sinar Lestari anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) dengan kerjasama rakan strategik.

Dr. Na’im menziarahi suami Norliza Hassan yang terlantar akibat penyakit lumpuh. 

Majlis penyerahan kunci rumah yang melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM320,000 telah berlangsung di Kampung Merkang, di sini pagi kelmarin.

Salah seorang penerima, Norliza Hassan, 51, tidak dapat menahan sebak apabila menerima kunci kediaman baharu yang jauh lebih selesa untuk beliau dan keluarga, termasuk suaminya yang terlantar akibat penyakit lumpuh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dato’ Setia Dr. Na’im Mokhtar yang merasmikan majlis turut meluangkan masa menziarahi suami Norliza dan mengumumkan sumbangan tambahan berupa katil bergerak untuk meringankan beban mereka.

“Bantuan seperti ini bukan sekadar menyediakan tempat tinggal yang selesa, malah ia simbol keprihatinan Kerajaan MADANI dalam membina masyarakat penyayang dan memastikan tiada golongan memerlukan tercicir,” katanya.

Dr. Na’im ketika menyampaikan ucapan.

Sementara itu, Ketua Pengarah YAPEIM Zabidi Hassan memaklumkan, program Sinar Lestari yang dilancarkan sejak 2020 telah memberi manfaat besar kepada rakyat, khususnya golongan B40 dan asnaf di seluruh negara.

“Sehingga Mei 2025, sebanyak 293 projek bina baharu dan baik pulih kediaman telah dilaksanakan di seluruh Malaysia melibatkan peruntukan RM13.5 juta. Ini adalah komitmen berterusan kami dalam memastikan rakyat yang memerlukan dibantu,” katanya.

Program ini dilihat sebagai salah satu inisiatif penting dalam meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya di kawasan luar bandar, selain memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti setempat.

-FN-

Tinggalkan komen anda