
Laporan/foto: Zahid Othman/Ranhill SAJ (Johor)
JOHOR BAHRU, 8 Jul (MalaysiaAktif) – Lebih 30,000 akaun pengguna di sekitar Bandar Raya Johor Bahru dan Tebrau bakal berdepan gangguan bekalan air berjadual selama 26 jam bermula 15 Julai ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ Sdn Bhd (Ranhill SAJ) Anuar Abdul Ghani berkata gangguan itu susulan kerja-kerja penyelenggaraan menyeluruh yang dijadualkan di Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Iskandar, Pasir Gudang.

Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ Sdn Bhd (Ranhill SAJ) Anuar Abdul Ghani, berkata gangguan bekalan air di Johor Bahru dan Tebrau mulai 15 Julai ini susulan kerja-kerja penyelenggaraan menyeluruh yang dijadualkan di Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Iskandar, Pasir Gudang
Beliau berkata kerja-kerja tersebut melibatkan penyelenggaraan dan baik pulih instrumen penting di loji berkenaan bagi memastikan kelestarian sistem rawatan serta kestabilan bekalan air dalam jangka panjang.
“Penutupan ini penting untuk membolehkan Ranhill SAJ melaksanakan penyelenggaraan menyeluruh terhadap sistem pembekalan di loji tersebut.
“Kita berharap kerja-kerja ini dapat memastikan bekalan air terawat yang dihasilkan terus memenuhi piawaian ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN),” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Menurut Anuar gangguan bekalan air itu merupakan langkah proaktif bagi memastikan sistem pembekalan berada dalam keadaan optimum dan selamat untuk kegunaan pengguna.
Sehubungan itu, beliau menyeru pengguna yang terlibat agar menyimpan air secukupnya serta menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan.
“Ranhill SAJ juga akan menyediakan bantuan bekalan air melalui lori tangki bagi keperluan kecemasan melibatkan premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan institusi yang memerlukan bekalan air berterusan,” katanya.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman sesawang Ranhill SAJ di www.ranhillsaj.com.my, menghubungi talian bebas tol 1800-88-7474 atau mengikuti Facebook rasmi Ranhill SAJ – Setitis Yang Bermakna.
-AA-