
Laporan/foto: Muhd Naim/SMK Serting Hilir
JEMPOL, 8 Jul (MalaysiaAktif) – Sekolah Menengah Kebangsaan Serting Hilir Kompleks, di sini menjadi antara empat sekolah terpilih di Negeri Sembilan bagi menjayakan Program Sains, Teknologi dan Inovasi 100 kuasa tiga (STI 100³).
Perkara itu dimaklumkan Ketua Penyelaras Program, Ts. Mohd Zuhaimi Yacob ketika pelancaran program tersebut di sekolah berkenaan hari ini.

Sebahagian pelajar yang menyertai Program Sains, Teknologi dan Inovasi 100 kuasa tiga (STI?100³)
Berbangga dengan pemilihan itu, pengetua sekolah, Faizah Muhammad berkata program yang dilancarkan secara serentak di seluruh negara oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu membuka ruang kepada pelajar meneroka dan berfikir secara kritis.
“Ia juga membolehkan mereka menyampaikan idea dalam bentuk yang ringkas tetapi berimpak. Seterusnya akan melahirkan generasi pewaris negeri yang bukan sahaja celik teknologi tetapi juga bersedia menjadi pencipta dan pemimpin masa akan datang dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik),” katanya.
Terdahulu, Mohd Zuhaimi berkata seramai lapan orang saintis daripada pelbagai latar belakang dan agensi dipilih oleh MOSTI untuk menjayakan program berkenaan.
“Kami telah diberikan tanggungjawab untuk menceritakan keajaiban dunia sains kepada pelajar-pelajar sebagai salah satu usaha untuk menarik minat pelajar mendalami sains,” ujarnya.

Ts Zuhairi dalam slot bersama pelajar
Program tersebut mencatatkan pencapaian yang membanggakan apabila mencipta dua Malaysia Books of Records iaitu Program Jangkauan Saintis Terbesar, melibatkan 100 orang saintis yang berinteraksi secara langsung dengan 100 sekolah dalam masa 100 hari.
Selain itu, ia juga mencipta rekod kebangsaan bagi Penyertaan Pelajar Terbanyak dalam Sesi STEM Interaktif, iaitu lebih daripada 20,000 pelajar dari pelbagai latar belakang, termasuk sekolah desa dan bandar, menyertai aktiviti hands on seperti permainan STEM inovatif dan bengkel sains serta teknologi.
Program ini akan dilaksanakan untuk tempoh tiga fasa dan akan berakhir pada bulan September ini.
-AA-





