
Laporan/ Foto: Iswandi Kassim/Margaret Jana
PANTU, 08 Jul (MalaysiaAktif) – Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Daerah Sri Aman perkukuh pendekatan komunikasi bersemuka dalam penyampaian maklumat dan dasar kerajaan melalui Program JIWA@KOMUNITI MADANI: Kemasyarakatan KM Sungai Mansau yang diadakan di Rumah Bonny Minson, Sungai Mansau, semalam.
Lebih 100 peserta hadir dalam program tersebut, termasuk komuniti setempat dan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Mansau, dengan penyertaan pelbagai agensi kerajaan serta pemimpin komuniti.

Sesi gotong-royong melibatkan kerjasama erat antara peserta program.
Program berkenaan merupakan antara inisiatif JAPEN dalam memperkasa komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat, sejajar dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan nilai keterangkuman, keprihatinan dan ketelusan dalam penyampaian perkhidmatan awam.
Menurut Penolong Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman, Jessecca Gilbert Bunsu pendekatan seperti itu penting bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan dalam mendapatkan maklumat sahih berkaitan dasar kerajaan dan isu semasa.
“Meskipun maklumat kini mudah diakses secara digital, penyebaran berita palsu masih berleluasa, terutamanya di media sosial seperti WhatsApp, Facebook dan Instagram.

Jessecca ketika menyampaikan ucapan pada Program JIWA@KOMUNITI MADANI di Rumah Bonny Minson, Sungai Mansau sini, semalam.
“Oleh itu, pendekatan turun padang masih relevan dan amat diperlukan, khususnya di kawasan yang mempunyai capaian internet yang terhad,” katanya ketika berucap pada program berkenaan.
Beliau turut menggalakkan orang ramai untuk membuat semakan maklumat menerusi saluran rasmi seperti laman www.sebenarnya.my serta akaun rasmi kementerian dan agensi kerajaan bagi mengelak terpengaruh dengan berita tidak sahih.
Antara topik yang diketengahkan sepanjang program termasuk Penjelasan mengenai OPS GASAK dan penyalahgunaan subsidi LPG, Pendedahan terhadap sindiket penipuan tawaran pekerjaan ke luar negara, Pengenalan Chatbot AIFA, Inisiatif DIDCOM (Drug Information for Deaf Community) untuk OKU pendengaran, Kempen keselamatan siber melalui Internet Selamat, dan Maklumat mengenai bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Jessecca (enam dari kiri) bergambar bersama beberapa peserta selepas selesai sesi gotong-royong.
Selain sesi penerangan, pelbagai bahan penerbitan seperti risalah, buku kecil dan poster turut diedarkan, meliputi topik seperti penipuan dalam talian (scammer), penyeludupan migran, Rukun Negara, kempen anti buli dan Belanjawan 2025.
Turut hadir Ketua Komuniti Sungai Mansau, Bonny Minson, dan Pegawai Pertubuhan Peladang Daerah Pantu, Rantai Salleh.
-RJ-